news menu leftnews menu right
Laman Utama Kenali Kami Arkib
Pra zina telah berlaku ketik usia tujuh tahun lagi
Artikel - Topik
Tuesday, 20 April 2010 12:55
Dr. Khaidir IsmailDr. Khaidir Ismail
MENGEJUTKAN? Atau mungkin ada yang beranggapan bahawa penyataan ini adalah satu lawak jenaka. Ini bukan lawak jenaka. Bukan juga sesuatu yang mustahil dan mengejutkan kerana perlu diperakui, dunia tanpa sempadan dan batasan ini telah melahirkan golongan remaja yang menerima perlakuan ‘pra zina’ seperti berpegangan tangan, berpeluk, pergaulan tanpa batas dan bercium sebagai suatu yang normal.

Pra zina dilakukan pada mulanya adalah untuk suka-suka dan meniru. Demikian pendedahan yang dibuat oleh Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), DR. KHAIDZIR ISMAIL, ketika wakil DAKWAH Norzihan Mohamed Yin, bagi mendapatkan pandangan beliau.

Menurut beliau, walaupun secara psikologi peringkat remaja mula terjebak adalah ketika remaja berumur 13 tahun, tetapi kajian menunjukkan remaja telah melalui peringkat pra zina sebelum itu lagi. Kajian yang pernah dijalankan beliau sebelum ini juga menunjukkan remaja lelaki mula melancap pada umur tujuh tahun.

Menurutnya lagi, kanak-kanak dari usia tujuh hingga 11 tahun telah melalui pra zina menerusi pendedahan oleh media massa terutama televisyen, internet, pembacaan dan interaksi dengan rakan yang lebih dewasa selain faktor pemakanan.

“Mereka tengok internet, televisyen dan video dan kemudian meniru perlakuan yang ditonton. Pendedahan awal ini sebenarnya mempercepatkan lagi proses keremajaan. Remaja zaman dahulu, ketika berada di tingkatan tiga dan empat baharu mula terdedah, tetapi remaja sekarang usia tujuh hingga sembilan tahun sudah mula terdedah,” tegas beliau.

Golongan remaja yang terjebak juga menurut Dr Khaidzir tidak berasa bersalah dengan perbuatan dan perlakuan sumbang mereka.

“Sudah lumrah remaja sentiasa ingin mencuba. Pada tahap umur 10 hingga 13 tahun, keadaan hormon remaja pada masa itu membuatkan remaja memiliki perasaan ingin mencuba yang tinggi ditambah pula dengan pendedahan kepada media massa terutama televisyen dan internet selain faktor persekitaran.”

Perlakuan remaja pada hari ini adalah disebabkan oleh pengaruh dan penyebab yang pelbagai. Dr Khaidzir menjelaskan punca dan penyebab remaja boleh terjebak kepada aktiviti tidak sihat ini disebut sebagai 5K yang terdiri daripada kemahiran atau pendidikan, komunikasi, kendiri, kawalan diri dan kebolehan menangani masalah.  Remaja yang selalu terjebak, menurut beliau adalah golongan remaja yang memiliki kualiti 5K yang rendah terhadap tekanan dan pengaruh persekitaran.

Selain itu, menurut beliau, pendedahan kepada pra zina menerusi media massa dan persekitaran menyebabkan remaja menjadi golongan yang sering dilihat kerap menimbulkan masalah. Apabila ditanya mengenai kumpulan remaja yang terdedah dengan risiko melakukan zina dan pembuangan bayi, beliau menyatakan bahawa terdapat dua kategori remaja yang berpotensi.

“Dua kategori itu ialah remaja yang berisiko dan kurang berisiko. Remaja yang berisiko terdiri daripada remaja yang membesar dalam keadaan keluarga miskin, keluarga berantakan, mempunyai adik-beradik yang ramai selain keadaan rumah yang kecil.

“Mereka pada awalnya tidak berisiko, tetapi oleh kerana persekitarannya yang berisiko, lalu mereka keluar bergaul dengan rakan-rakan sebaya sehingga terjebak. Kajian yang kita buat baru-baru ini mengenai belia yang bermasalah menunjukkan antara punca utama adalah rakan sebaya. Ini menunjukkan pengaruh rakan sebaya memainkan peranan penting.

Menurut belia, pengaruh rakan sebaya menyumbang sebanyak 27 peratus kepada salah laku dan baik laku remaja. Kajian juga menunjukkan pengaruh ibu bapa terhadap remaja hanya tujuh peratus sahaja.

Ditanya tentang pengetahuan awal seks di kalangan remaja, beliau menegaskan, berdasarkan kajian dan pengalaman, ibu bapa dengan latar belakang yang baik dari segi pendidikan dan taraf hidup mempunyai pengetahuan awal tentang pencegahan kehamilan. Berlainan pula dengan latar belakang keluarga yang tidak terdedah dengan dunia luar.

“Apabila tidak terdedah dengan dunia luar, remaja ini apabila terjebak, dia tidak tahu hendak buat apa. Itu sebabnya kita selalu dengar banyak kes pembuangan bayi berlaku di kampung-kampung. Jarang kita dengar pembuangan bayi dilakukan di bandar-bandar besar.”

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan, remaja yang datang dari latar belakang yang baik dari segi pendidikan dan taraf hidup turut tidak terkecuali. Tegas beliau, remaja yang datang daripada keluarga kaya dan berpendidikan ini juga banyak tetapi golongan ini biasanya berasakan apa yang mereka lakukan seakan tiada salahnya.

“Golongan ini biasanya mengamalkan hubungan bebas dan mempunyai hubungan yang agak rapat dengan rakan-rakan dalam lingkungan mereka. Hubungan rapat di antara ibu bapa menyebabkan mereka tidak kisah sekiranya anak-anak mereka bergaul rapat waima tidur bersama.”

Melihat kepada kebejatan yang semakin berleluasa kini, pihak berkaitan, terutama ibu bapa seharusnya memandang serius perkara ini. Peningkatan bilangan kelahiran anak luar nikah dan pengguguran bayi sejak kebelakangan ini menunjukkan bahawa golongan remaja perlu didedahkan mengenai keburukan perbuatan ini pada fizikal, emosi, mental, sosial dan spiritual. Bukan itu sahaja, malahan kepada diri sendiri, keluarga, agama dan masyarakat keseluruhan.

Justeru, Dr Khaidzir melihat kajian-kajian yang dilakukannya dan data yang diperolehi adalah untuk memberitahu dan sebagai maklumat kepada masyarakat, pembuat dasar dan ibu bapa bagi mencari jalan penyelesaian. Menurut beliau, apa yang seharusnya dirisaukan adalah perlakuan yang berlaku sebelumnya iaitu peringkat pra zina, berkawan dan menonton video lucah kerana daripada peringkat permulaan tersebut akan membawa ke lembah zina.
“Kajian yang pernah saya lakukan sebelum ini iaitu isu remaja berisiko hilang dara, ramai yang memberi respon dan tidak kurang juga yang tidak bersetuju dengan dapatan daripada kajian tersebut. Bagi saya, hasil setiap kajian yang dilakukan tidak semestinya baik.

Menerusi “Kajian Profil Remaja Perempuan Risiko Tinggi Atau Bermasalah,” beliau mendedahkan bahawa hanya seorang sahaja daripada subjek ujikaji seramai 887 remaja bermasalah masih belum pernah melakukan zina.

Beliau  turut memperakui bahawa semua respon yang di terima merupakan suatu bentuk ‘tekanan’ yang dihadapi masyarakat. Namun, beliau mengakui, dari satu aspek, kerisauan yang timbul itu adalah suatu yang baik. Ini kerana menurut beliau, ia akan membuatkan masyarakat berfikir.

Kendatipun begitu, ada juga golongan masyarakat yang ingin menutup kerisauan tersebut dengan menimbulkan isu lain pula. 

Terminologi yang beliau gunakan ketika ditanya mengenai cara mengatasi permasalahan ini cukup menarik. Beliau mengambil contoh pasaraya yang mempunyai ruangan tidak halal dan halal.

“Kita tidak pergi ke situ (ruang tidak halal) kerana kita rasa jijik dan faham. Tetapi ada juga sesetengah orang yang pergi ke situ kerana kurang tahu atau kurang ilmu.

Kita tidak boleh menutup ruang tersebut kerana ia adalah ruang khas untuk masyarakat bukan Islam. Walaupun kita tidak boleh tutup, tetapi apa yang boleh kita lakukan ialah mengecilkan ruang tersebut.

Walau bagaimanapun, pokok pangkalnya adalah ilmu pengetahuan yang dimanfaatkan,” jelas beliau.

LAIN-LAIN ARTIKEL SILA DAPATKAN MAJALAH DAKWAH KELUARAN TERKINI DI PASARAN.
Tags:
 

This content has been locked. You can no longer post any comment.



Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.