news menu leftnews menu right
Laman Utama Fokus PERLUASKAN LARANGAN ARAK KEPADA MUSLIM
PERLUASKAN LARANGAN ARAK KEPADA MUSLIM

LAPORAN mengenai garis panduan terbaru Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang melarang orang Islam bekerja di tempat-tempat hiburan yang menyediakan minuman keras pada 13 Januari 2011 menimbulkan pelbagai reaksi.

Syarat baru itu disertakan sebelum lesen perniagaan dikeluarkan kerana pengambilan pekerja beragama Islam di premis-premis berkenaan dikatakan bertentangan dan melanggar Seksyen 18 (2), Enakmen Jenayah Syariah, Negeri Selangor.


Bagi orang Islam yang mukmin, garis panduan itu wajib kita sambut dengan kesyukuran dan gembira. Sekurang-kurangnya ada peraturan yang jelas melarang umat Islam terlibat dalam transaksi melibatkan minuman keras atau arak.

Syabas kepada pengurusan MPSJ yang ‘berani’ menguatkuasakan garis panduan tersebut. Ia adalah antara khabar gembira yang patut kita raikan sempena dengan Tahun Baru Hijrah 1432 dan tahun baru 2011.

Pedulikan apa kata orang politik. Memang ada yang akan menangguk di air keruh dengan meletakkan pelbagai alasan termasuk di manakah pekerja terlibat mahu mencari makan selepas diberhentikan. Semuanya supaya peraturan itu tidak dikuatkuasakan. Bagi kita umat Islam, sepatutnya kita menjunjung tinggi hukum Allah dalam perkara ini.

Hukum Islam tentang arak adalah jelas. Pengharaman alkohol atau arak jelas dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan bertenung nasib dengan anak-anak panah, adalah perkara keji yang termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya agar kamu berjaya.” (al-Maidah: 90)

Barangkali, ada yang sengaja mahu loyar buruk dan berhujah, “kami bukan minum arak, cuma kerja menyediakan arak sahaja” atau yang seumpama dengannya. Semua ini dilihat bertujuan mencari alasan supaya ‘menghalalkan’ mereka terus berada dalam industri yang ternyata diharamkan kepada umat Islam.

Mari kita hayati hadis Nabi Muhammad s.a.w berikut. Ibnu Umar r.a dan Anas bin Malik r.a melaporkan bahawa Rasulullah s.a.w telah menegaskan, ada 10 golongan berhubung-kait dengan arak yang mendapat laknat daripada Allah s.w.t, mereka itu ialah:
1.    Orang yang memerah arak (pekerja).
2.    Orang yang diminta diperah untuknya (peminum atau tuan kedai arak).
3.    Orang yang meminumnya (peminum).
4.    Orang yang membawanya (termasuk pemandu atau yang menghidangkannya).
5.    Orang yang meminta dibawa arak kepadanya (pelanggan, peminum atau pekerja).
6.    Orang memberi minum arak kepada orang lain (pekerja dan tuan kedai atau kelab hiburan).
7.    Orang yang menjual arak (tuan kedai dan kelab hiburan).
8.    Orang yang mendapat hasil daripada arak (tuan kedai dan pemegang saham).
9.    Orang yang membeli arak (peminum atau pekerja).
10.    Orang yang meminta dibelikan arak untuknya (peminum).
– (Riwayat Ibnu Majah, Jilid 4, hadis nombor 3380 & 3381 dan Riwayat Tirmidzi, Jilid 2, hadis nombor 1312)

Sebagai orang mukmin, adalah satu tanggungjawab yang termaktub dalam maqasid syariah, antaranya menjaga keturunan. Keturunan ini melibatkan anak-anak kita. Soalnya, mahukah kita membesarkan anak-anak dan melihat tumbesaran mereka daripada darah daging yang bersumberkan rezeki haram iaitu daripada duit berkaitan arak?

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.