news menu leftnews menu right
Laman Utama Topik Pendidikan Seks
Pendidikan Seks

KEPENTINGAN pendidikan seks akhirnya diiktiraf sebagai satu disiplin ilmu di Barat apabila buku karya Dr. David R. Reuben bertajuk Everything You Always Wanted to Know About Sex diterbitkan pada tahun 1969 di Amerika Syarikat. Buku ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Dalam tempoh 3 bulan selepas diterbitkan, ia telah terjual sebanyak 400,000 naskhah. Ia merupakan sebuah buku best seller di Amerika dan menjadi di antara buku yang paling banyak terjual dalam tempoh yang amat singkat. Buku ini juga terjual dengan begitu banyak kerana tiada buku sepertinya pernah ditulis sebelum ini dari segi subjek perbincangan dan kedalaman perbincangan. Buku ini kemudiannya diterbitkan pula di United Kingdom dan mendapat sambutan yang menggalakkan juga. Buku ini membincangkan segala perkara berkaitan dengan pendidikan seks tanpa sebarang rasa malu. Buku ini juga menceritakan kemampuan fizikal seseorang dari sudut tingkah laku seksual dan bagaimana manusia dapat mencapai kepuasan seksual pada tahap tertinggi.

Dr. Reuben sebenarnya adalah seorang psikatris yang terkenal. Beliau percaya
bahawa pendidikan seks moden masih tidak tersebar luas dalam masyarakat. Oleh yang demikian, beliau memperkenalkan pendidikan seks moden mengikut pendekatan Barat. Beliau membincangkan apakah yang akan dilakukan oleh para pelacur dan pengamal homoseksual dalam kehidupan seharian mereka. Beliau juga turut membincangkan bagaimana orang bujang, pasangan yang matang, orang yang berumur dan para duda dan janda patut lakukan untuk mengekalkan tahap keseksualan mereka. Walau bagaimanapun, bukunya tidak memberikan sebarang pertimbangan kepada aspek moral dan akhlak. Apabila membincangkan soal penyebaran penyakit kelamin dan gejala pelacuran misalnya, beliau melihat penyelesaiannya dari sudut penggunaan kondom dan bukannya pencegahan dari sudut fundamental dan prinsipal.

 

Dari segi konseptual dan falsafah, pendekatan Islam dan pendekatan Barat dalam pendidikan seks amatlah berbeza (Rajah 1). Di negara kita, perbahasan mengenai kepentingan pendidikan seks telah bermula sejak tahun 1980 lagi. Dalam Simposium Seksualiti Manusia pada tahun tersebut, para doktor perubatan telah mendedahkan bahawa ramai remaja Malaysia yang merujuk kepada buku dan majalah untuk mendapatkan maklumat berkaitan seks sedangkan maklumat tersebut boleh didapatkan melalui ibu bapa dan para guru secara lebih sahih.

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.