news menu leftnews menu right
Laman Utama artikel Bingkisan Rohani Kecantikan Dalaman Dari Perspektif Islam
Kecantikan Dalaman Dari Perspektif Islam

Oleh AMINI AMIR ABDULLAH


DR. AMINI AMIR ABDULLAH ialah Pensyarah

di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan

Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusias

Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

KITA biasa dengar perkataan orang itu cantik, perempuan itu cantik dan acap kali juga kita dengar banyak penganjuran berkaitan dengan ratu cantik. Setakat yang diketahui, saya tidak pernah mendengar orang menganjurkan ratu cantik dalaman, kecantikan rohani atau kecantikan dalaman.

 

Kecantikan adalah suatu perkara yang lumrah dalam fitrah manusia. Semua manusia cenderung kepada perkara yang molek-molek dan cantik-cantik sama ada kepada aspek fizikal maupun aspek-aspek kehidupan lahiriah yang lain. Jarang-jarang orang memperkatakan mengenai kecantikan dalaman.

 

Selalunya orang akan menilai seseorang yang lain daripada segi kecantikan luaran yang serba subjektif. Naum demikian, kriteria penilaian yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. adalah lebih baik. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu Dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (al-Hujurat: 13)

 

Ayat ini menjelaskan bahawa sesungguhnya semulia-mulia insan di sisi Allah ialah orang yang lebih tinggi takwanya di antara manusia kamu dan bukannya yang lebih tinggi keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah juga Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya akan keadaan manusia dan amalan-amalan manusia semuanya. Saya berpendapat kecantikan dalaman insan terletak kepada sifat takwa yang juga merupakan kriteria utama kemuliaan insan itu sendiri.

 

Hal ini juga telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras, keturunan dan harta benda kamu, akan tetapi Allah melihat kepada keimanan dan amalan-amalan kamu.”  Pengertian hadis ini menjelaskan bahawa di sisi Allah s.w.t, perkara yang dinilai oleh Allah ialah keimanan dan amalan-amalan manusia dan tiada selain daripada itu. Rupa paras, keturunan dan harta benda akan beransur-ansur menjadi terhakis. Paras rupa daripada muda remaja akan menjadi tua, keturunan akan berakhir dengan kematian ataupun ketiadaan zuriat dan harta benda pula akan berkurangan dan ditinggalkan di dunia apabila berlaku kematian.

 

Hadis ini juga menjelaskan bahawa iman dan amalan manusia adalah amat signifikan dalam konteks hubungan insan dengan Allah s.w.t. Kayu pengukur berimannya seseorang itu ialah ia beriktikad dan meyakini dengan sebenarnya segala rukun iman (arkan al-iman) beserta dengan tuntutan-tuntutannya dan menunaikannya manakala kayu pengukur Muslimnya seseorang ialah dengan pengakuan dua kalimah shahadahnya, iktikad serta keyakinannya yang jitu dengan tuntutan-tuntutan Islam yang tidak berubah dan berbelah bahagi serta praktik-praktiknya. Ini adalah teras dan tunjang kecantikan dalaman yang patut diutamakan. Jika hati kita tunduk kepada keimanan, fizikal dan jasmani kita akan turut cantik. Begitulah sepatutnya ia berlaku.

 

Orang yang cantik dalamannya ialah mereka yang benar-benar berada di atas landasan al-Quran dan al-Sunnah. Orang-orang Muslim yang hanya bershahadah tetapi tidak melakukan dosa mensyirikkan Allah, tidak menunaikan tuntutan syahadah, tuntutan rukun iman dan tuntutan Islam ataupun meninggalkan salah satu atau sebahagian daripadanya adalah sama ada tergolong dalam kelompok Muslim fajir, Muslim fasiq ataupun Muslim ‘Asi. Mereka ini tergolong dalam kelompok yang “tidak cantik dalamnya” walaupun secara fizikal kelihatan cantik. Mereka tetap akan diazab oleh Allah sesuai dengan sebanyak mana dosa yang telah mereka lakukan dan bezanya mereka dengan seorang yang kafir ialah orang kafir akan kekal di dalam neraka selama-lamanya.

 

Kecantikan dalaman yang utama ialah mengesakan Allah pada tauhid Rububiyyah dan pemerintahanNya. Iaitu beriktikad bahawa Allah sebagai pemilik mutlak dan memiliki serta menguasai seluruh alam, Pencipta setiap sesuatu dan Pemberi rezeki. Kesemuanya di alam semesta dan bimasakti berada di bawah kehendak-Nya, pengetahuan dan ilmu-Nya serta kebijaksanaan-Nya yang Maha Suci. Oleh itu setiap perkataan, perbuatan atau iktikad yang mengingkari elemen khusus tauhid Rububiyyah ini atau pengingkaran terhadap sebahagian atau sedikit daripadanya akan membawa kepada kufur dan murtad.

 

Satu ciri penting berkaitan dengan kecantikan dalaman ialah mereka itu tidak mempunyai sifat kesombongan dan kebongkakan. Firaun contohnya; mengaku sebagai rabb bahawa beliau adalah pemilik mutlak sesuatu di atas alam, pemberi rezeki atau pentadbir yang menafikan Allah yang lebih berhak ke atas segala-galanya. Begitu juga dari segi sejarah kisah Namrud....

 

SELANJUTNYA DAPATKAN MAJALAH DAKWAH ISU 10 (NOV/DEC2011) DIPASARAN SEKARANG!

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.