news menu leftnews menu right
Laman Utama Topik Isu Murtad di Malaysia: Perlunya kaedah inovatif dan tegas
Isu Murtad di Malaysia: Perlunya kaedah inovatif dan tegas

 GEJALA murtad di kalangan orang Islam negara ini sudah sampai ke tahap kritikal. Bilangan kes orang yang dilahirkan Melayu-Islam yang mohon tukar nama asal serta saudara baru yang tidak mengamalkan cara hidup Islam atau mahu balik ke agama asal meningkat tahun demi tahun.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menggemparkan seluruh negara apabila menyebut bilangan mereka yang murtad mencapai hampir suku juta. Semasa pendedahan ini dibuat pada tahun 2008 dulu, ramai yang tidak percaya. Ada juga yang mempersenda, kononnya beliau menyebut angka macam membilang jari saja.

 

Hakikat semakin ramai orang Islam yang terpesong sangat menakutkan. Bekas Mufti Kuala Lumpur Ustaz Shaari Bustamah pernah memaklumkan bahawa bilangan murtad di ibu kota sehingga Julai 1997 ialah 3,000 orang. Kajian di Jabatan Statistik menunjukkan terdapat 4,776 permohonan pada tahun 1989 sahaja.

 

Mengikut rekod Mahkamah Syariah, seramai 863 kes telah dirujuk kepadanya antara tahun 2000 hingga 2010 bagi tujuan menukar status agama Islam. Daripada bilangan ini, 168 kes telah diluluskan. Kajian lain menunjukkan bahawa 519 permohonan menukar nama Islam kepada bukan Islam dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Negara antara 1994 dan 1997, yang mana 48 peratus permohonan diluluskan.

 

Portal bebas Malaysiakini melaporkan
bahawa 686 permohonan tukar status
agama telah dirujuk kepada pihak
Mahkamah Syariah dan daripada itu, 135
kes diluluskan. Paling banyak ialah di
Sabah (238 permohonan; 67 diluluskan),
Negeri Sembilan (172; 33), Selangor (99), Wilayah Persekutuan (56;10), Perak (47;12) dan Pulau Pinang (36;1), diikuti Melaka (12:3), Pahang (8;7), Johor (8), Kedah (5;1), Perlis (3;1), manakala Sarawak dan Kelantan masing-masing 1 permohonan.

 

Walaupun bilangan kes berbeza-besa mengikut sumber, yang jelasnya ia kian meningkat. Beberapa siri Program Himpunan Sejuta Umat (HIMPUN) telah diadakan bagi menzahirkan kebimbangan ini serta sokongan umat Islam terhadap gerakan membasmi kemurtadanan dikalangan orang Islam. Setakat ini, HIMPUN telah diadakan di Shah Alam, Selangor; Kuala Kangsar, Perak dan Paroi, Negeri Sembilan. Seterusnya, HIMPUN akan diadakan di Pulau Pinang pada 28 Januari 2012.

 

Pengerusi HIMPUN, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bilangan kes permohohan dan kelulusan murtad menggambarkan ianya satu isu besar dan serius yang perlu diberi perhatian dan ditangani semua pihak. Menurutnya, sebahagian besar permohonan diterima untuk keluar Islam terdiri daripada golongan saudara baru. Usaha sedang dilakukan untuk mengemaskini maklumat agar mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai gejala ini dikalangan saudara baru. Manakala dikalangan orang Melayu asal, gejala murtad banyak dikalangan golongan remaja lingkungan umur 20an.

 

Menurutnya lagi, antara faktor berlakunya gejala murtad ialah masalah kemiskinan, kesempitan hidup dan juga kurang ilmu mengenai Islam. Daripada pemerhatian dan pengalaman, didapati bahawa selain lemah pegangan agama serta jahil mengenai hukum hakam dan akidah, golongan terbabit mudah terpengaruh dengan agama lain. Faktor perkahwinan juga boleh mendorong seseorang Islam menjadi murtad. Inilah yang diperolehi daripada siasatan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas 12 orang Islam yang diselamatkan di Gereja Methodist Damansara Utama pada Ogos tahun lalu.

Gejala merebak

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said baru-baru ini memberi amaran kepada pihak yang berusaha memurtadkan umat Islam negeri itu supaya jangan “bermain api”, kerana tindakan mereka bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan malah boleh mencetuskan ketegangan kaum dan agama.

 

“Kena hormat orang Islam kerana ini negara Islam. Perkara ini adalah isu yang sensitif. Ini soal serius. Jangan cuba bermain api,” kata Ahmad sebagai mengulas laporan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengenai gerakan pihak tertentu yang aktif memurtadkan orang Melayu di negeri itu, termasuk orang kelainan upaya (OKU).

 

Bekas exco Selangor Datuk Dr Hasan Ali berkata beliau mempunyai bukti nyata berhubung gerakan pihak ini. Katanya, sejak penubuhan Unit Selamatkan Akidah di bawah portfolio beliau semasa menjadi Exco Selangor, seramai 51 orang Melayu-Islam telah melahirkan keinginan untuk bertaubat dan pulang ke pangkal jalan. “Mereka dibekalkan bible terjemahan Bahasa Melayu. Bukan Bahasa Indonesia yang orang kita sukar faham, tetapi Bahasa Melayu. Saya ada contoh salinan bible itu.”

 

Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor dan AJK Pas Pusat ini melahirkan keinginan untuk mengadakan perjumpaan dengan pemimpin Kristian dan orang Melayu-Islam yang pernah murtad. “Sekiranya pihak yang murtad bersetuju bertemu pihak paderi dan ilmuan agama, kita mahu dengar daripada mulut mereka sendiri, sekali gus membuktikan apa yang saya cakap adalah benar.

 

“Saya mahu pimpinan Kristian, tokoh agama, mufti dan intelek agama mendengar daripada mulut mereka yang telah memeluk agama Kristian sebagai bukti mereka telah terjebak dengan ajaran Kristian dan cubaan memurtadkan orang Islam Ini kerana mereka takut tampil ke hadapan, bimbang dengan risiko, kecaman masyarakat, keselamatan nyawa dan takut dipandang hina masyarakat.”

 

Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Zaini Hassan, dalam ruangannya ‘Cuit’ pada 7 Ogos 2011 berkata gerakan kristian ini bukan sahaja bergerak secara agresif di negara ini tetapi juga melangkaui sempadan. Gerakan mereka ini tidak kelihatan dengan imej pakaian ala berkopiah putih, tabligh atau purdah, tapi cukup halus. Mereka juga membuka kelas bahasa Inggeris dan muzik di beberapa negara seperti Vietnam, Kemboja dan Indonesia. Bukan kelas-kelas biasa, tapi bertujuan menerapkan agama mereka.

 

“Di mana NGO-NGO Islam yang kononnya kuat dan Islamik itu? Malangnya mereka ini lebih kuat berpolitik daripada menjalankan kerja-kerja dakwah sebenar...Mana perginya Persatuan Mahasiswa Islam dan Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) yang garang itu. Mereka hanya garang kepada pemerintah kerajaan, yang bagi mereka itu tidak kena, ini tidak kena. Mengapa tidak dilakukan kerja-kerja sosial seperti yang dilakukan oleh gerakan Kristian itu?”

 

Cara Halus

Semasa kecil, ramai dikalangan kita yang diajar lagu ini: Are you sleeping, are you sleeping, Brother John, Brother John. The morning bell is ringing, the morning bell is ringing, ding dong bell, ding dong bell.

Penulis tidak tahu sama ada lagu ini masih diajar di sekolah-sekolah rendah atau tidak. Namun, ketika itu, penulis dan rakan-rakan lain tidak begitu faham maksudnya samada Brother John merujuk kepada paderi atau abang bernama John, dan samada morning bell yang dimaksudkan itu loceng gereja atau loceng di rumah.

Seorang teman yang pernah belajar di sekolah Methodist di Sungai Siput, Perak berkata beliau juga tidak tahu maksud perkataan itu atau jenis sekolah di mana beliau dihantar.“Ketika itu, tidak ada sebab untuk meragui apa-apa kerana tak dengar pula unsure mengalihkan akidah sesiapa. Kawan Cina tetap dengan amalan dan kepercayaan mereka, begitu juga dengan kawan India, apatah lagi dengan kawan Melayu-Islam,” kata Hanizam Abdullah, seorang pengarang di Berita Harian.

 

Baru-baru ini, sebuah pusat tuisyen percuma di Jalan Kuchai Lama didakwa cuba memesongkan akidah murid Melayu terutama daripada keluarga miskin dan setinggan sejak lapan tahun lalu. Anak-anak kecil diajar menyanyi lagu memuji Jesus Christ oleh sekumpulan muda mudi bukan Melayu. Antara lagu-lagu yang diajar termasuk Yes, I Know Jesus Loves Me dan Hari Ini Ku Rasa Bahagia yang memuji Christ sambil menunjukkan isyarat tangan simbol salib.

 

Seorang tukang cuci, Rosiati Mohd Repha, 41, ibu kepada dua anak berumur tujuh dan 12 tahun belajar di pusat tiusyen itu, tidak sangka guru-guru di situ cuba menyebarkan ajaran Kristian secara halus. Beliau menghantar anak-anak ke sana kerana tiada yuran dikenakan. “Kerap anak-anak saya bawa balik hadiah kerana menang pertandingan menyanyi,” katanya, sambil mendapati anak-anaknya hanya menggunakan satu buku latihan sahaja yang bertulis ABC dan lukisan yang tiada kaitan dengan sukatan pelajaran tahun enam.”

 

Bekas Pengerusi Rukun Tetangga kawasan tersebut, Rosiah Ibrahim, 52, berkata pusat tiusyen itu mengajar pelajar menyanyi lagu-lagu Kristian dan dipertontonkan video mengenai Jesus Christ. Kuiz mengenai agama Kristian sering diadakan dan hadiah diberi kepada pemenang.

 

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata usaha untuk mengkristiankan orang Islam pada masa ini bukan sahaja menarik penganutnya ke dalam agama Kristian tetapi cukup dengan menjauhkan orang Islam daripada agamanya. Ujar beliau lagi, walaupun usaha itu berselindung di sebalik alasan kebebasan beragama, ia terang-terangan melanggar peruntukan Perlembagaan dalam Perkara 11 (4) yang tidak membenarkan sebarang aktiviti mengajak orang Islam keluar daripada agama.

 

“Ini bermakna wujud larangan penyebaran lain-lain agama selain daripada Islam terhadap orang Islam dan kerajaan harus mengambil tindakan paling tegas untuk memastikan kesucian agama Islam dengan mengguna pakai segala peruntukan perundangan yang ada,” katanya.

 

Pengaruh Media Sosial

Setiausaha Agung ISMA, Aminuddin Yahya, berkata kajian Sekretariat HIMPUN mendapati golongan remaja wanita Islam yang melayari laman social Facebook (FB) antara mereka yang terdedah dengan aktiviti murtad. Trend terbaru ini cukup membimbangkan memandangkan mereka sering menggunakan FB untuk berkenalan dengan rakan-rakan lain. Ramai yang mudah terpengaruh dan akhirnya tidak teragak-agak meninggalkan Islam, terutama yang mana nipis akidah dan rendah pengetahuan agamanya.

 

“Bermula dengan perkenalan selepas itu mahu berjumpa dan kemudiannya jatuh cinta. Ketika bercinta apa sahaja mereka sanggup lakukan termasuklah keluar agama. Melalui kajian yang kita lakukan, kebanyakan yang terlibat ialah belia dan remaja wanita.”

 

Malah, katanya, sudah ramai yang dibaptiskan dan mengikuti upacara keagamaan. Namun, dengan bantuan dan kerjasama beberapa NGO Islam lain, ISMA telah berjaya menyelamatkan sebahagian daripada mereka yang terjebak dengan gejala ini.

 

Perkara ini diakui Hanizam, yang pernah belajar di sekolah Methodist. Dalam sebuah rencananya di Berita Harian tahun lalu, beliau menulis: “Berlambak e-mel yang saya dapat, menghebahkan cerita wujudnya kumpulan yang semakin melebarkan pengaruhnya dalam usaha memurtadkan orang Melayu-Islam di Malaysia. Kata e-mel itu, waspada kalangan pemuda, pemudi yang nampak seragam baju putih, seluar hitam. Mereka memang baik dan sering mempamerkan sikap mengambil tahu mengenai kebajikan sasaran mereka.”

 

Beliau memberi contoh seorang pelajar sekolah agama di Lembah Kelang yang lengkap berpurdah, bijak berhujah dan bersolat lima kali sehari tetapi di lehernya tersangkut rantai salib. Akhirnya, pelajar itu terpaksa menjalani kaunseling.

 

Ulama kanan Iran Ayatollah Lotfollah Safi-Golpaygani baru-baru ini menetapkan FB sebagai bercanggah dengan ajaran Islam sekali gus berdosa menjadi ahlinya kerana menggalakkan peri laku tidak bermoral. Perangkaan rasmi menunjukkan bahawa bilangan pengguna FB di Iran ialah 17 juta orang, terutama golongan muda. Kira-kira 60 peratus daripada penduduk Iran berjumlah 70 juta adalah di bawah umur 30 tahun.

 

Kata beliau: “Pada asasnya, perbuatan melayari mana-mana laman web yang menggalakkan peri laku tidak bermoral dan melemahkan pegangan agama bercanggah dengan Islam dan tidak dibenarkan selain menjadi ahli adalah haram. Hanya penggunaan laman web yang menekankan kriteria agama dan tidak membawa kepada sebarang peri laku atau etika tidak bermoral, tiada masalah.”

 

Langkah Ke Depan

Baru-baru ini, HIMPUN telah memanjangkan 10 resolusi kepada rakyat Malaysia, antaranya menyeru semua pihak menghormati dan mendokong peranan Raja-Raja Melayu untuk melaksanakan amanah sebagai ketua dan payung kepada pentadbiran Islam di negara ini. Resolusi itu juga menuntut kerajaan memasukkan undang-undang pencegahan yang tegas dan kukuh untuk memelihara kemuliaan Islam di dalam Perlembagaan, sebagai mengimbangi pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

 

Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan berkata: “This is not something that cannot be done. For those who don’t want to be Muslims anymore, what can you do? If they want to leave the religion, what are you going to do?  You might as well let them go.”

 

Petikan AFP bertarikh 10 Julai 2007 ini dikeluarkan seminggu selepas Siti Fatimah Abdullah dibenarkan murtad dan menggunakan nama asalnya, Revathi Masoosai.

 

Dalam konteks inilah HIMPUN menuntut Kerajaan mengambil langkah segera menggubal undang-undang khusus membendung gejala memurtadkan umat Islam selaras dengan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan. Selaras ini, dicadangkan agar proses penyeragaman undang-undang syariah antara negeri dilaksanakan segera bermula dengan mewujudkan sistem pengurusan Hisbah.

 

“Tindakan tegas hendaklah dikenakan terhadap mereka yang secara jelas memurtadkan orang Islam. Saya kesal kes memurtadkan yang dilakukan sebuah gereja di Kuala Lumpur beberapa tahun lalu tidak dikenakan tindakan,” kata Mohd Azmi.

 

Turut digesa ialah kerangka jangka panjang dengan misi mengarus perdanakan syariah dalam semua aspek pengurusan dan sektor umat Islam di negara ini hendaklah segera dilaksanakan. “Sejak Merdeka, Islamisasi pentadbiran negara belummencapai tahap yang sepatutnya walhal peruntukan 3 dalam Perlembagaan Persekutuan sepatutnya menjadi payung undang-undang kepada semua usaha mengarus perdanakan syariah di negara ini,” kata Mohd Azmi.

Selain penyeragaman syariah dalam bidang yang sudah diusahakan iaitu sektor kewangan negara termasuk perbankan, insuran, pajakan dan pelaburan, banyak lagi sektor yang harus diterjemahkan konsep Islam yang syumul dalam pentadbiran negara. Misalnya, undang-undang syariah bolehlah digubah di peringkat pusat supaya menjadi asas melaksanakan konsep pentadbiran Islam dalam semua bidang.

 

“Jika transformasi terhadap Sistem Pengurusan Islam di negara ini mahu dilaksanakan dengan serius, kami menggesa keutamaan perlu diberi kepada mengujudkaan sistem hisbah seperti yang dituntut dalam pentadbiran Islam,” tambah beliau.

 

Menjadikan prinsip hisbah sebagaimana yang dilaksanakan dalam pemerintahan Islam sejak zaman Rasulullah s.a.w sehingga zaman Khulafa ar-Rasyidin sepatutnya digubal sebagai perundangan sekaligus sebagai dasar. Beliau berpendapat penekanan kepada transformasi pengurusan Islam semestinya bermula daripada usaha mewujudkan skima melahirkan insan petugas yang berkualiti tunggak. Petugas yang diterap dengan kualiti ketakwaan, akhlak serta amanah dan pertanggungjawaban menjadi asas untuk merombak pengurusan yang sedia ada.

 

Hal lain yang bersifat prasarana, profesionalisme dan struktur adalah aspek sekunder yang boleh dibangunkan kemudian setelah sistem pembinaan kualiti insane dilaksanakan dengan mantap. Mohd Azmi menggesa semua pihak mendekati isu yang menggugat akidah umat Islam melalui kegiatan pemurtadan diatasi dengan menguatkuasakan undang-undang yang berkesan serta dakwah dan dialog berterusan.

 

HIMPUN juga menggesa pihak Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada akidah tauhid dan penerapan akidah yang berkesan kepada pelajar.

 

Selain itu, Kerajaan juga perlu mengadakan program penerangan menyeluruh agar masyarakat berbilang kaum dan agama dapat memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara bagi memahami Islam dan kedudukannya di dalam negara bagi menghapus prasangka dan kekeliruan terhadap Islam. Kerajaan juga perlu mengawal kegiatan media berkaitan penyiaran yang menyentuh sensitiviti umat Islam dan keharmonian bernegara perlulah diambil tindakan yang tegas mengikut perundangan undang-undang yang ada.

 

Manakala umat Islam pula diminta melupakan perbedaan fahaman politik dan lain-lan hambatan untuk bersama bersatu memikul tugas berat mempertahan dan menyelamatkan akidah umat daripada sebarag bentuk pencerobohan.

 

oleh Juhaidi Yean Abdullah

Penulis ialah Yang Dipertua Rumah Perlindungan Baitul Fiqh

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.