news menu leftnews menu right
Laman Utama artikel Analisis Murtad, Riddah & Irtidad: Sorotan Isu
Murtad, Riddah & Irtidad: Sorotan Isu


oleh Abdul Salam Muhamad Shukri

MURTAD merupakan jenayah yang dapat menghapuskan semua amal soleh sebelumnya dan di akhirat nanti akan menjadi ahli neraka buat selama-lama apabila seseorang itu mati dalam keadaan murtad. Ini jelas apabila Allah s.w.t  berfirman dengan maksudnya:


“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang dalam bulan yang dihormati; katakanlah: “Peperangan dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah, dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haram (di Mekah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. Dan (ingatlah) angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati). Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka dapat memalingkan kamu dari agama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian); dan sesiapa yang murtad (berpaling tadah) di antara kamu dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya (selama-lamanya).” (al-Baqarah: 217)

Hukuman asal bagi kesalahan murtad ialah bunuh. Ini berdasarkan hadis: “Barang siapa menukar agamanya, maka bunuhlah dia.” Kaedah dalam melaksanakan hukuman ini ialah seseorang itu tidak dibunuh sebelum diminta bertaubat terlebih dahulu. Apabila ia bertaubat, hukuman alternatif dikenankan termasuk merotan, penjara atau denda (Paizah Haji Ismail 1996: 247).

Artikel ini menganalisis pengertian murtad dari sudut bahasa dan istilah, hubungannya dengan kekufuran dan kebebasan beragama dalam Islam.

Pengertian Murtad

Perkataan murtad berasal daripada bahasa Arab, iaitu “riddah” atau “irtidad”. Dari sudut bahasa, riddah bermaksud “kembali daripada sesuatu kepada selainnya.” (al-ruju’ ‘an al-shay’ ila ghayri-h). Secara istilah riddah bererti “kembali daripada Islam kepada kufur sama ada dengan niat, atau dengan perbuatan kufur atau dengan perkataan sama ada dalam bentuk penghinaan, penderhakaan atau iktikad (al-Zuhayli, 6: 183). Dalam bahasa Melayu, Kamus Dewan (2005: 1330) mendefinisikan “riddah” sebagai “perbuatan keluar daripada agama Islam, sama ada melalui perbuatan, perkataan, atau niat.” Begitu juga dengan kata “irtidad” dalam bahasa Arab yang mempunyai maksud yang sama, iaitu “kembali” (al-ruju’) (al-Razi, Mukhtar al-Sihhah, 239). Ia berasal daripada kata kerja irtadda, bemaksud “kembali ia, mundur ia, murtad ia.” (Kamus al-Marbawi, 232-33). Perkataan irtidad masih tidak tersenarai dalam sebagai bahasa Melayu dalam Kamus Dewan.

Perkataan murtad dalam bahasa Melayu sebenarnya berasal daripada kata murtaddun. Kata-kata “murtaddun ‘an dini-h” bermaksud “ia kembali dari agamanya.” Murtad merujuk kepada “orang yang kembali daripada Islam kepada kufur.” Kamus Dewan (2005: 1058) mendefinisikan murtad sebagai “orang yang keluar daripada agama Islam, sama ada melalui perbuatan, perkataan, atau niat.” Selain itu terdapat kata kerja “memurtadkan” dalam bahasa Melayu, bermaksud “menjadikan seseorang murtad.” Seterusnya kata terbitan “kemurtadan,” bermaksud “perihal murtad.”

Al-Zuhayli dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatu-h memberi beberapa contoh bentuk-bentuk murtad, antaranya sesiapa yang mengengkari kewujudan Pencipta, menafikan dan mendustakan para rasul menghalalkan perkara haram secara ijmak seperti menghalalkan zina, liwat, minuman keras dan kezaliman, atau mengharamkan perkara halal secara ijmak seperti mengharamkan jual beli dan nikah, atau menafikan kewajipan yang sudah disepakati seperti menafikan rakaat dalam solat-solat fardu, atau percaya wajib perkara yang bukan wajib secara ijmak seperti menambah rakaat dalam solat-solat fardu atau wajib puasa dalam bulan Syawal, bercita-cita untuk menjadi kafir atau sentiasa mengulangi untuk menjadi kafir. Termasuk juga dalam kategori murtad ialah perbuatan kufur seperti meletakkan al-Quran dan kitab hadis nabi atas najis dan sujud menyembah berhala dan matahari (al-Zuhayli 1985: 6: 183-84).

Hubungan Murtad dengan
Kekufuran atau Kufr
Murtad membawa kepada seseorang menjadi kafir, kufur (kufr), iaitu terkeluar daripada Islam. Menurut syariah, implikasi menjadi kafir ialah di akhirat nanti ia kekal dalam neraka setelah mati, dan ketika di dunia tiada qisas untuk pembunuhannya, tidak berhak menikah wanita Muslimah, tiada perlindungan terhadap jiwa dan harta, dengan darah dan hartanya boleh dirampas.

Imam al-Ghazali (m. 505/1111) menyedari bahawa isu menjadi kafir begitu rumit dan sentisif dan timbul pula pendapat yang berlebihan dan ekstrem dalamnya, seperti isu kafir mengkafir sesama Islam dan menuduh semua kelompok lain sebagai kafir melainkan kelompok sendiri ia berada. Pada pandangan al-Ghazali asas dan dasar sebelum gelaran kafir dikenakan sangat penting untuk diletakkan. Menurut al-Ghazali dasar yang benar ialah bahawa setiap orang yang mendustakan Rasulullah s.a.w adalah menjadi kafir. Hanya dengan berpandukan kepada dasar ini penetapan gelaran kafir dapat dibuat tanpa ada campuran dengan sikap ekstrem dan berlebihan.

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.