news menu leftnews menu right
Laman Utama artikel Langit Terbuka Legasi Si Penyembelih Kejam
Legasi Si Penyembelih Kejam

 sabrasabraKETIKA berita kematian bekas Perdana Menteri Israel diketahui, hampir keseluruhan kanak-kanak Palestin menyambutnya dengan ketawa dan saling berbahagi manisan sebagai tanda kesyukuran, akhirnya si penyembelih kejam dan perampas tanah air mereka sudah tiada. Keadaannya berbeza ketika saat penduduk dunia menerima berita kematian (5 Disember 2013) pejuang kemanusiaan terhebat sepanjang sejarah, Nelson Mandela (1918-2013), kerana ketiadaannya menandakan masyarakat dunia telah hilang sebutir mutiara yang paling berharga.

 

Ariel Sharon meninggal ketika berusia 86 tahun pada 11 Januari 2014 setelah koma selama 8 tahun akibat angin ahmar. Sharon turut dipanggil Arik dilahirkan pada 26 Februari 1928 di Kfar Malai, utara Tel Aviv dalam satu keluarga imigran Rusia. Orang tuanya berasal dari Belarus, merupakan keturunan Yahudi yang tegar dengan semangat zionisme, yakni sebagai bangsa pilihan dan sentiasa ingin menuntut bela atas pengusiran kaumnya yang berlaku sejak sekian lama.

Ketika Inggeris menjajah bumi Palestin, keluarga Sharon berhijrah ke situ dan terus menetap dengan harapan sebuah negara bernama Israel tertubuh. Semangat itulah juga yang ditanam dalam diri Sharon, dan ketika berusia belasan tahun beliau sudah terlibat dalam gerakan pemuda zionis. Ketika berusia 14 tahun, Ariel Sharon turut dikenali berjiwa kental dan digelar “bulldozer” menyertai pasukan gerila Yahudi untuk menentang pemerintahan British. Ketika berusia 20 tahun, Ariel Sharon dilantik sebagai ketua platon, yang kemudiannya ditugaskan untuk berperang dengan tentera Arab pada tahun 1948, yakni setelah penubuhan negara Israel telah dimulakan sebaik sahaja Perang Dunia II tamat.

Ariel Sharon yang mempunyai latar belakang ketenteraan turut diberikan gelaran sebagai “hawkish” berdasarkan sikap dan tindakannya yang tidak pernah berhenti bertindak secara kejam dan diluar batas kemanusiaan. Beliau tidak segan untuk membantai ataupun melakukan kekerasan terhadap penentangnya, termasuk tindakannya ketika terbabit dengan Perang Arab-Israel pada tahun 1967 dan Perang Yom-Kipur pada bulan Oktober 1973.

Kekerasan yang dilakukan itu menyebabkan Israel dibenci oleh masyarakat antarabangsa, walaupun ia merupakan satu kemenangan besar bagi Israel dalam usaha memperkuatkan kedudukannya sebagai sebuah negara berdaulat dan penting dalam percaturan geopolitik di Timur Tengah, menyebabkan negara-negara Arab tidak bersatu. Israel bukan sahaja dapat memperkukuhkan kedudukannya, bahkan semakin hampir untuk menguasai bumi Palestin keseluruhannya, dan sempadan wilayah Israel bertambah luas. Israel tidak lagi menghormati perjanjian pembahagian keluasan tanah dengan Palestin yang dipersetujui pada tahun 1967.

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.