news menu leftnews menu right
Laman Utama artikel Analisis Analisis Pola Minda Radikal
Analisis Pola Minda Radikal

minda_radikalminda_radikalSerangan keganasan di Paris awal November 2015 yang lalu menggemparkan seluruh masyarakat dunia. Semua menyatakan rasa sedih dan mengutuk perbuatan itu termasuk para pemimpin negara dan masyarakat Muslim seluruh dunia. Pada serangan tersebut, seramai lebih 130 nyawa yang tidak berdosa telah terkorban.



Perbuatan keganasan, walau di mana juga ia berlaku mesti dikeji kerana perlakuannya tidak tersandar atau bersumberkan mana-mana sifat kemanusiaan yang waras dan seimbang. Apatah lagi dari ajaran mana-mana agama. Dari sudut ajaran Islam, perlakuan keganasan telah melanggari prinsip pendamaian dan nilai kehormatan insan setiap anak Adam yang dimuliakan. Islam menganjurkan nilai kasih sayang sesama masyarakat manusia yang berbilang dan berbagai dari segi anutan dan kepercayaan.

Bagi masyarakat Islam secara khusus, kehibaan mereka berganda dan bertimpa-timpa dengan kejadian serangan itu. Ini kerana, keganasan itu telah dikaitkan dengan penglibatan kumpulan yang digelarkan sebagai ‘Islamic State’ (IS) atau ‘Negara Islam’. Kini, istilah ‘negara Islam’ yang sepatutnya mengandungi kefahaman tentang konsep dan citra sebuah sistem pemerintahan yang baik dan adil telah tercemar. Kesedihan lain ialah apabila fenomena ‘Islamophobia’ yang menular sejak lebih sedekad lalu akibat dari peristiwa serangan di Menara Perdagangan di New York, Amerika Syarikat, kini berkembang kembali. Sikap anti Muslim dilaporkan telah menular semula selepas serangan itu.

Sejajar itu, perlakuan keganasan adalah sebuah persoalan semasa yang perlu ditangani. Ia tidak boleh sama sekali menular dan menjadi budaya di kalangan penganut Muslim kerana impak dan kesan negatifnya terlalu besar terhadap kemaslahatan hidup umat Islam seluruh dunia. Oleh kerana itu, di samping kita perlu menyeru kepada penolakan perlakuan keganasan ini, kepentingan lain juga ialah tuntutan untuk kita memahami asas berfikir yang menjadi punca kepada penularan perbuatan dan pemikiran yang berbentuk radikal di kalangan masyarakat dunia termasuk di kalangan masyarakat Islam.

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.