news menu leftnews menu right
Laman Utama artikel Analisis Membaca Semula Karya Hamka
Membaca Semula Karya Hamka

hamkahamkaSekiranya Hamka masih hidup, beliaulah penulis paling kaya di Asia Tenggara.” Begitulah catatan Buku Rekod Malaysia (1997). Apa tidaknya hampir sebahagian besar karyanya telah diulang cetak melebihi sepuluh kali oleh pelbagai penerbit di Indonesia, Malaysia, Singapura dan Brunei. Sehingga ke hari ini, karya-karyanya yang berupa novel, buku agama, falsafah masih terus dicetak dan diterbitkan kembali dalam wajah baharu.

Karya-karya Hamka cukup segar, berinspirasi dan menyentuh kalbu. Kita akan berasa kelainannya dan mendapati “sesuatu yang baharu” walau telah beberapa kali membacanya. Bahasanya cukup memikat, halus, bersopan tetapi penuh dengan sindiran dan kritikan sosial.

Bacalah Falsafah Hidup, Di bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal Van der Wijck dan Tasawuf Moden misalnya, maka kita akan mengerti akan pengamatan Hamka yang tajam dan kritis terhadap adat, budaya, kehidupan beragama, masalah sosial dan politik. Perjalanan intelektual membawanya ke Timur Tengah, belahan Asia, dan Amerika. Kesemuanya memperkayakan nuansa pemikirannya dan tertuang dalam pelbagai genre penulisannya yang melebihi 110 buah karya itu.

Antara sekian banyak karya Hamka yang diterbitkan kembali adalah roman cinta antara dua darjat iaitu Merantau ke Deli. Novel ini asalnya adalah tulisan-tulisan bersiri yang dimuatkan dalam majalah Pedoman Masyarakat antara tahun 1939 hingga 1940, kemudian diterbitkan dalam bentuk buku pada 1941 oleh penerbit Cerdas di Medan.

Novel ini dalam versi Malaysia (2016) diterbitkan oleh PTS Publishing dengan mengekalkan keaslian bahasa asal yang digunakan Hamka tanpa sebarang perubahan untuk menjadi rujukan pada masa akan datang. Pihak penerbit turut menyediakan glosari di bahagian belakang buku pada perkataan yang mungkin tidak difahami oleh pembaca di Malaysia.

Novel ini berkisar tentang tiga tokoh utama iaitu Leman, Poniem dan Mariatun yang melalui pahit manis kehidupan bermadu yang terikat dengan adat. Karya ini menceritakan bagaimana pengaruh adat, terutama pada adat Minangkabau yang kuat cuba untuk menyatu dengan adat lain iaitu adat Jawa melalui perkahwinan yang memang sukar pada zaman itu.

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.