news menu leftnews menu right
Laman Utama artikel Wawancara Sinergi Ulama Dan Seniman Dalam Dakwah
Sinergi Ulama Dan Seniman Dalam Dakwah

Sinergi_UlamaSinergi_Ulama Tidak dapat dinafikan, sifat semula jadi manusia ialah menyukai seni dan hiburan. Seni dan hiburan tidak hanya menjadi alat kepada keperluan manusia untuk menghibur diri daripada kepenatan setelah balik kerja atau menghilangkan tekanan, akan tetapi seni juga menjadi media dakwah yang amat berkesan dalam menyampaikan mesej agama dan penghayatan ajaran Islam.

“Keperluan manusia terhadap seni dilandasi oleh kenyataan bahawa seni menyerlahkan sesuatu yang indah. Semua yang indah itu disukai manusia. Sesuatu yang merosakkan dan tak elok itu bukan seni,” kata Prof Dr Siti Rugayah Tibek, pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

“Pendekatan seni dalam berdakwah amat penting dan bersesuaian digunapakai dalam zaman ini. Malah hukum pendekatan seni dalam dakwah menjadi wajib sekiranya kita tidak buat, akan menyebabkan kita ketinggalan dan tewas kepada agama lain dalam menyampaikan misi agama. Oleh itu, tidak timbul persoalan status hukum seni sama ada haram, ditegah atau dielakkan selagi ia tidak lari daripada kepatutan syariah (shariah complience),” ujar beliau.

Prof Siti Rugayah yang juga dikenali sebagai pendakwah dan pakar seni dan kebudayaan Islam berpendapat terlalu banyak contoh dalam ajaran Islam yang memperihalkan kaedah seni dalam berdakwah. Beliau memetik satu hadis yang menceritakan: “Nabi Muhammad sendiri pernah ‘berlakon’ di depan sahabat-sahabat dalam proses menjadi seorang Rasul. Baginda melakonkan semula lakonan Malaikat Jibril yang menyamar menjadi manusia dan menjumpai Nabi.

“Nabi melakonkan perjumpaan antara dirinya dengan Malaikat dan terjadinya dialog seperti soalan “ma huwal Islam, ma huwal iman” (apakah Islam, apakah iman) agar para sahabat lebih mudah memahami mesej yang hendak disampaikan. Pendekatan lakonan juga bertujuan mempelbagaikan kaedah dakwah yang lebih menarik dan inovatif. Inilah dakwah”. katanya lagi.

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.