news menu leftnews menu right
Laman Utama Topik Asmara Di Pejabat
Asmara Di Pejabat

Asmara_pejabatAsmara_pejabatOrang kata, bertepuk sebelah tangan tak berbunyi. Kalau tangan yang dihulur tidak disambut, pasti ‘situasi ini’ tidak akan berlaku. Kisah suami menangkap isteri curang atau isteri menangkap suami berkhalwat dengan perempuan lain sudah lali kita dengar sama ada daripada cakap-cakap orang sekeliling, laporan daripada media massa mahupun di’viral’kan menerusi media sosial.

Baru-baru ini, satu rakaman video berdurasi kira-kira lapan minit memaparkan seorang wanita, dikatakan seorang guru dilihat sedang bermesra dengan seorang lelaki pertengahan umur yang disyaki seorang pengetua sekolah di dalam sebuah bilik pejabat tersebar luas di laman sosial. Penyebaran video itu memaksa Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr Mahdzir Khalid mengeluarkan kenyataan yang menafikan penglibatan guru dalam video tersebut.

Tidak dapat dinafikan, dalam dunia serba mencabar dan kompetatif hari ini, pekerjaan merupakan satu keperluan bagi kelangsungan hidup. Kadangkala, seorang suami dengan gaji yang diperoleh, tidak mampu menanggung perbelanjaan keluarganya secara berseorangan. Oleh itu, sang isteri terpaksa berkorban masa mengasuh anak-anak dengan bekerja membantu suami bagi menambah sumber pendapatan keluarga.

Adat hidup seorang pekerja, memang sebahagian besar masa terisi ditempat kerja. Masa dihabiskan bersama-sama teman sepejabat sehinggakan kemesraan yang terjalin itu lebih erat dari hubungan dengan ahli keluarga sendiri. Kemesraan yang terjalin ini pula jika tidak dijaga, boleh memutikkan cinta sepejabat dan menggugat ikatan perkahwinan yang dibaja sekian lama.

Mengikut statistik, dalam tempoh enam tahun lalu, sebanyak lebih 274,000 pasangan Islam di Malaysia bercerai. Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia turut mendedahkan sebanyak 38,035 pasangan bercerai sepanjang tempoh Januari hingga Ogos tahun lalu. Berdasarkan statistik itu, secara purata sebanyak 156 kes perceraian berlaku setiap hari atau enam kes bagi setiap jam. Sebuah akhbar tempatan juga pernah melaporkan bahawa kes perceraian yang berpunca daripada kecurangan meningkat 20 peratus setiap tahun (KOSMO, “Isteri curang bijak simpan rahsia”, 25 Julai 2010).

Dalam urusan seharian yang memerlukan kita berhubungan antara rakan sekerja berlainan jantina di tempat kerja, interaksi tersebut mestilah berlaku dalam suasana penuh adab, sopan dan disulami dengan etika profesionalisme yang tinggi. Sekalipun kemesraan yang terjalin atas dasar teman sekerja atau rakan sepasukan yang erat hubungannya, saling memahami dan percaya-mempercayai, masih terdapat batas dan sempadan yang perlu diperhatikan dalam pergaulan seharian.

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.