news menu leftnews menu right
Laman Utama Fokus Setiap Orang Boleh Mengubati Dirinya Sendiri?
Setiap Orang Boleh Mengubati Dirinya Sendiri?

Menurut pakar dan pengamal perubatan Islam, Tuan Asmawi Tuan Umar, yang juga pegawai perhubungan awam di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), perubatan Islam masih menjadi alternatif umat Islam di tengah-tengah perubatan moden kerana asasnya bertunjangkan kepada panduan al-Quran dan al-Sunnah.

“Sebagai “dustur al haya’” (panduan hidup manusia), al-Quran menyediakan petunjuk kepada manusia dari perkara yang paling kecil hinggalah perkara-perkara yang besar. Ini termasuklah berkaitan dengan penyakit manusia. Al-Quran merupakan penawar segala penyakit yang menjangkiti manusia.

“Dalam al-Quran ada disebutkan bahawa al-Quran merupakan syifa’ (ubat) kepada manusia. Kita mesti meyakini bahawa segala penyakit, pasti ada penawarnya. Kita juga mesti percaya bahawa penyakit dan penawar itu datangnya daripada Allah,” kata Tuan Asmawi yang lebih mesra dipanggil Ustaz itu.

Perkara ini turut dinyatakan dalam hadis yang menyebutkan bahawa setiap penyakit pasti ada ubatnya kecuali kematian. Apabila satu penyakit itu belum ada penawarnya, bukan bermakna ia tidak dapat disembuhkan.

“Allah suruh kita untuk lebih bersungguh-sungguh berusaha mencari kesembuhan dengan pelbagai kaedah dan cara. Pada hakikatnya, Allah hanya menunda kesembuhan pesakit itu agar manusia lebih gigih mencari jalan penyelesaian. Penyakit yang sukar disembuhkan sesungguhnya menjadi “ibrah” atau peringatan kepada manusia untuk menjauhi jenis penyakit itu,” tegas Asmawi yang juga dikenali sebagai antara pelopor suara latar terkemuka di Malaysia.

Ditanya mengenai fenomena penyelewengan perubatan alternatif dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, beliau mengakui penyelewengan itu berlaku. Ia diamalkan oleh pihak-pihak yang menggunakan ayat al-Quran bagi tujuan untuk merosakkan atau memudaratkan seseorang. Perkara ini menurutnya jelas haram dan bercanggah dengan ajaran Islam kerana termasuk syirik.

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.