news menu leftnews menu right
Laman Utama Topik Agama Baru: Tidak Beragama?
Agama Baru: Tidak Beragama?

Sepertimana kenyataan yang pernah disiarkan di dalam satu portal berita tempatan, negara pernah digemparkan dengan program berpuasa golongan gay pada Ramadan lalu. Namun, baru-baru ini, kita digemparkan lagi dengan berita perhimpunan golongan ateis di negara tercinta kita ini.

 

Perhimpunan yang diadakan secara tertutup itu dikatakan adalah program tahunan sebuah kelab khas bagi golongan ateis yang dikenali sebagai The Atheist Republic Consulate of Kuala Lumpur. Kelab ini merupakan cawangan kepada kelab induk yang dikenali sebagai Atheist Republic yang diasaskan oleh seorang lelaki kelahiran Tehran, Iran, bernama Armin Navabi.

 

Paling menyedihkan majoriti ahli kumpulan ini pula terdiri dari kalangan orang Melayu murtad yang dengan bangga menggelarkan diri mereka itu sebagai ‘bekas Muslim’ atau pun ‘ex-Muslim’.

 

Berhubung perkara ini, satu penyelidikan mengenai Global Index of Religiousity and Aetheism 2012 oleh WIN-Gallup International telah dihasilkan dan hasilnya menggambarkan perkembangan yang sangat membimbangkan. Kajian membabitkan 50,000 peserta dari 57 negara itu mendapati rakyat di beberapa negara Islam yang dianggap konservatif dan kuat beragama sudah ramai dan berani mengakui yakin bahawa mereka memang ateis (convinced atheists).

 

Penyelidikan Global di atas melaporkan dua peratus rakyat Pakistan, atau lebih kurang 3.8 juta; dan lima peratus rakyat Arab Saudi berjumlah 1.5 juta, sementara dua peratus rakyat Turki (1.4 juta) berada dalam kategori ini. Apa yang menarik, penyelidikan ini mendapati tidak ada yang mengaku ateis di Malaysia.

 

Sebagai respons kepada isu ini, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan kumpulan yang tidak percayakan tuhan ini sebagai kurang didikan agama dan celaru. Beliau berkata, perkara itu kemudiannya diburukkan dengan perselisihan pendapat antara pendakwah terhadap isu tertentu sehingga mereka semakin celaru.

 

Justeru, kewujudan golongan ini menjadi fokus tema Majalah Dakwah pada kali ini sebagai reaksi kepada kebimbangan masyarakat dengan keadaan sosial yang yang secara terbuka tidak mengakui kewujudan Tuhan yang esa dan ajaran agama yang syumul. Sudah pastinya jika terus dibiarkan, golongan ini akan lebih berani sepertimana pengikut ajaran isme asing, keliru lagi bercanggah yang sedang cuba merobek keamanan dan kesucian agama Islam yang telah terjamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.

 

Selain itu, Majalah Dakwah pada kali ini juga menyajikan kolum baharu bertajuk “Celik Muamalat” yang memaparkan ilmu-ilmu tentang pengurusan kewangan peribadi dalam bahasa yang mudah dan santai namun padat dengan informasi.

 

Seperti biasa, banyak lagi isu-isu menarik yang dikupas di dalam majalah ini. Semoga segala ilmu daripada kupasan ini dapat dimanfaatkan dalam usaha menuju kehidupan yang diredai-Nya. Insya-Allah.

 

Selamat membaca, berfikir dan cakna.

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.