news menu leftnews menu right
Laman Utama Topik Abah, Abah Nak Tengok Tak Ni, Bah?
Abah, Abah Nak Tengok Tak Ni, Bah?

 

najmi4najmi4

 

Oleh MOHD NAZALI MOHD NOOR

 

Mohd Nazali Mohd Noor adalah pensyarah kanan Pengurusan Fasiliti di School of The Built Environment, Liverpool John Moores University. Beliau juga merupakan penulis buku best seller Ulu Yam Di Liverpool 1, Ulu Yam Di Liverpool 2 dan Anak-anak Abah.

 

Minggu lalu dan minggu ini kehidupan saya di universiti sangat-sangat sibuk. Semester pengajian sudah hampir ke penghujung. Minggu ini minggu ke 25 pengajian dari keseluruhan 30 minggu. Tapi minggu hadapan dan seterusnya pelajar akan mula bercuti musim bunga selama dua minggu.

 

Banyak tugasan pelajar yang perlu ditanda. Ada juga pembentangan yang perlu dinilai. Dalam pada itu, saya juga perlu mengadakan beberapa sesi diskusi bagi pelajar Masters dan PhD yang saya selia tesis mereka. Setiap tahun, waktu ini memang waktu puncak!

 

Setiap hari, sampai saja dirumah, saya sudah terlepek keletihan. Suatu kemujuran sekiranya ada waktu dan kesempatan ke ruang tamu untuk bermain bersama Adam dan Awwab. Kelibat Najwa, Najman dan Najmi jarang berselisih dengan saya seminggu dua ini.

 

Najmi yang paling rapat dengan saya. Dialah yang sering menjengah ke bilik saya walau untuk berbual kosong sambil bertanyakan bagaimana suasana sepanjang hari saya di pejabat. Barangkali seminggu dua kebelakangan ini, bila dia masuk ke bilik, mungkin saya sudah tidur. Kerana kebelakangan ini, lepas solat Maghrib, saya ambil peluang berehat dan akan bangun awal pagi untuk menunaikan solat Isyak.

 

Entah macam mana, dua hari lepas usai solat Maghrib, tekak terasa haus benar. Jadi saya terpaksa turun ke dapur untuk minum.

Ketika menguak pintu ruang makan untuk menuju ke dapur, saya terserempak dengan Najmi yang sedang meneleku komputer.

 

“Eh Abah...”

 

Saya hanya melemparkan senyuman kepada Najmi lantas terus ke sinki menadah air paip ke gelas.

 

“Bah.. Bah...” Saya dengar suara Najmi dari ruang makan.

 

“Ermmm...,” balas saya acuh tak acuh sambil membasuh gelas dan pantas mahu naik ke bilik semula.

 

Ketika melalui ruang makan, sekali lagi Najmi memanggil. Ditangannya kini ada telefon bimbit.

 

“Bah... Abah nak tengok tak ni, bah?” Disuakan telefon bimbitnya kepada saya.

 

Pantas saya memotong kata-kata Najmi: “Abah penat sangat hari ni. Turun sekejap nak minum. Nanti-nanti ya abah tengok. Abah penat...”

 

Saya lihat muka Najmi, dia tersenyum.

 

“Tak apalah bah. Nantilah bila abah okay nanti, Najmi tunjuk, ya?” ujar Najmi. Saya mengangguk lalu terus naik ke bilik tidur.

 

Esoknya rutin saya berjalan seperti hari ini - padat. Lusa pun begitu juga. Sampai saya terlupa entah apa yang mahu ditunjukkan Najmi tempoh hari.

 

Malam tadi saya terima satu sistem pesanan ringkas (sms) dari Najmi. Saya buka telefon bimbit. Masa menunjukkan pukul 2.00 pagi. Saya lihat Najmi menghantar gambar dia dan rakan-rakan sepasukan bola keranjang sekolahnya. Terpampang gambar dia menjulang piala besar. Saya tahu dia kapten bola keranjang sekolahnya. Dan 5-6 hari lalu, memang dia ada maklumkan pada saya yang pasukannya layak ke peringkat akhir pertandingan bola keranjang peringkat sekolah daerah Liverpool.

 

“Wish me luck, ya bah?”

 

Najmi minta saya mendoakan kejayaannya.

 

Tapi atas kesibukan, saya terlupa untuk bertanya keputusan pertandingan itu tempoh hari. Saya baca catatan sms Najmi itu:

 

“I won bah. We are the champion. I thought of showing you this picture that day. Nak ucap terima kasih kat abah. Najmi pakai kasut basketball yang abah belikan hari tu. My first throphy wearing that shoes. Thanks, ya bah...”

 

Tertampar! Saya rasa sangat kecewa dengan diri sendiri. Lantas saya ke bilik Najmi untuk menjenguk. Melihatkan dia sedang nyenyak tidur, saya tak sampai hati untuk mengejutkannya seawal jam 3 pagi. Tetapi saya kecewa dan kesal dengan diri sendiri atas sikap pentingkan diri ini. Berkira-kira di dalam hati, adakah esok masih lagi berkesempatan untuk memohon maaf dari Najmi sebelum ke pejabat?

 

Malangnya, esok kuliah bermula awal pagi dan saya perlu ke pejabat awal dan pastinya akan menyebabkan saya tidak sempat berjumpa dengan Najmi. Tetapi mujur kuliah habis jam 3 petang dan saya boleh pulang awal nanti.

 

Saya pulang sebaik habis kuliah dan semasa saya sampai ke rumah, Ain kata dia mahu menjemput Najmi pulang dari sekolah.

 

“Najmi ada game rugby petang ni, bang. Abang tau kan dia main rugby sebab cikgu dia kata dia boleh main rugby,” ujar Ain.

 

Saya terlongo.

 

“Bila pulak Najmi main rugby ni? Abang tak tahu pun? Bukan dia main bola sepak dengan basketball aja ke?” Tanya saya kepada Ain.

 

“Dia main rugby juga bang. Wakil sekolah anak bujang abang tu,” terang Ain.

 

Hati saya semakin sayu.

 

Walaupun baru beberapa minggu saja saya kesibukan, sudah begitu banyak yang berlaku dalam kitaran hidup anak-anak saya terlepas pandang. Perkara sebegini walau nampak kecil tapi signifikan dalam hidup saya! Ini progres sejarah hidup mereka kan?

 

Saya bertambah kesal dan resah. Hati saya gelisah.

 

“Ain... Abang nak ikut Ain ambil Najmi, ya? Abang tukar seluar sekejap.”

 

Saya ikuti Ain mengambil Najmi di sekolahnya. Dari jauh saya nampak keadaan Najmi yang comot, mungkin bergelumang dengan lumpur.

 

“Eh Abahpun ada. Abah balik awal, ya bah?” Tanya Najmi.

 

Saya senyum kelat. Rasa malu masih menyelubungi diri. Dalam hati saya mula menyusun ayat. Saya perlu meminta maaf dari Najmi. Dalam perjalanan pulang, saya meminta pada Ain untuk singgah sebentar di ASDA.

 

“Ain, nanti bawak abang pergi supermarket ASDA sekejap, ya? Nak beli buah dengan Najmi.” Ain angguk mengiyakan. 

 

Dalam pada itu, pelbagai ayat berlegar di dalam minda. Ayat untuk meminta maaf pada Najmi. Tiba-tiba Najmi cuit saya dari tempat duduk belakang.

 

“Bah... Bah...”

 

Saya toleh ke arah Najmi yang duduk di kerusi belakang. Najmi suakan sebuah kotak baldu berwarna biru. Saya terpinga-pinga.

 

“We won tadi bah. We are the champion of the rugby league. I did not played really well and got subbed. Tapi tak apalah kan bah.We won anyway,” ujar Najmi penuh girang.

 

Sekali lagi saya tertampar!

 

Senyum kelat.

 

Dan kereta dipandu Ain sampai ke ASDA. Pantas saya keluar kereta.

 

“Najmi, ikut abah jom?” Tanpa berlengah, Najmi keluar dari kereta.

 

Sampai di dalam shopping centre itu, saya peluk bahu Najmi.

 

“Najmi.. Abah mintak maaf for being ignorance lately to you. Irrespective whatever the reason, I am so ashamed of my action to you. I am so sorry, ya nak?”

 

Najmi kaget.

 

“What did you do wrong? Eh, tak ada salah apa pun, abah. I know you are tired and working late and so hard bah. I just want to say thank you for your support. Thanks, ya bah?”

 

Saya dah tak kisah dengan orang-orang yang lalu lalang untuk membeli barang di tepi, depan dan belakang saya ketika itu. Saya sebik emosi.

 

“I am so sorry son.”

 

Najmi senyum. Dia mengangguk faham.

 

“Bah.. I just hope that you are proud of me bah. Are you, bah?,” tanya Najmi.

 

Mata saya panas. Bibir saya terketap rapat.

 

“I am one ignorance lucky dad, Najmi. You are so amazing,” balas saya sungguh-sungguh.

 

“That is more than enough abah. Thanks, ya bah...,” ujar Najmi dalam senyum.

 

 

*****

 

Kadang-kadang kita terlupa. Kita ini manusia yang lemah dan mudah leka. Kita tidak meletakkan penghargaan pada anak-anak ketika mereka layak diraikan. Walau dalam banyak keadaan mereka tak minta apa-apapun sebagai ganjaran. Cukup sekadar ucapan:

 

“I am so proud of you son..”

 

Cukup!

 

Kita raikanlah anak-anak kita, ya? Dan usaha sehabis baik. Ada ketikanya anak-anak kita akan mencipta momen sejarah peribadi mereka.

 

Anak kita tu, kan? Kalau bukan kita jadi peminat nombor satu dan tukang sorak mereka, pada siapa lagi mereka nak harapkan?

 

Najmi...

 

Allahu...

 

Anak yang ini...

 

Banyak sangat mengajar abah dan mamanya untuk selalu merendah hati...

 

Anak yang ini...

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.