news menu leftnews menu right
Laman Utama Topik Pasar yang Membuatkan Pengunjungnya Semakin Kacak dan Jelita
Pasar yang Membuatkan Pengunjungnya Semakin Kacak dan Jelita

pasarpasar

 

Melihatkan pada tajuknya, memang agak pelik. Macam mana masuk pasar boleh jadi bertambah jelita dan kacak pula? Sedangkan tanyalah pada sesiapapun, pasarlah tempat yang penuh riuh rendah dan sesak. Itu belum ditambah dengan keadaannya yang berlecak dan hanyir. Baunya jangan katalah! Boleh tercabut hidung!. Muka seorang-seorang, tak kira penjual atau pengunjung, tidak kurang serabutnya seolah-olah kalau boleh mahu cepat-cepat meninggalkan pasar tersebut.

 

Tapi nanti dulu. Ini bukan main-main. Ini cerita sebenar dan kita wajib percaya kerana Rasulullah SAW sendiri telah bersabda mengenai perkara itu. Dari Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sungguh di syurga ada pasar yang didatangi penghuni syurga setiap hari Jumaat. Bertiuplah angin mengenai wajah dan pakaian mereka hingga mereka semakin indah dan tampan. Mereka pulang kepada isteri-isteri mereka dalam keadaan telah bertambah indah dan tampan. Keluarga mereka berkata, ‘Demi Allah, engkau semakin bertambah indah dan tampan.’ Mereka pun berkata, ‘Kalian pun semakin bertambah indah dan cantik” (HR Muslim no. 7324).

 

Sekarang, baru percaya? Tak sabar untuk masuk pasar syurga? Nanti dulu. Ada yang lagi menarik! Pasar ini bukan sahaja akan mencantik dan mengacakkan pengunjung-pengunjungnya, tetapi juga tiada jual beli pun yang akan berlangsung di dalamnya. Bermakna, apa sahaja barang yang dipamerkan adalah percuma selama-lamanya! Sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Surah az-Zukhruf ayat 71 yang bermaksud, “...dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya.”

 

Jika sebarang keinginan kita akan dipenuhi di syurga nanti, apa fungsi sebenar pasar itu? Sebenarnya fungsi pasar itu adalah sebagai tempat pertemuan para penghuni syurga. Ini dijelaskan oleh Imam An-Nawawi rahimahullah bahawa yang dimaksudkan dengan pasar adalah tempat berkumpulnya manusia sebagaimana manusia di dunia berkumpul di pasar. (Syarh Muslim 16/170, syamilah).

 

Nikmat syurgawi, bukan sahaja mendapat apa yang diingini walau hanya dengan lintasan hati, juga akan menjadikan kita bertambah kacak dan jelita sambil dapat berkenal-kenalan dan bersua muka dengan saudara dan teman-teman; saling menyapa, kenal mengenali.

 

Aduh! Indahnya kehidupan syurgawi. Tak sabar untuk mengunjungi pasar Jumaat di syurga!

 


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.