news menu leftnews menu right
Laman Utama Topik
Topik
Ingin Poligami Tapi Tak Mampu

Soalan: 

 

Saya ada membaca bahawa terdapat lelaki yang mengatakan dia berhak untuk poligami walaupun nafkah tak cukup atau hanya cukup untuk seorang isteri. Sedangkan isterinya tidak mengalami apa keuzuran dan sudah memporelehi anak. Alasan poligami adalah untuk elak zina.

 

Bila disentuh pasal nafkah, mereka berkata mungkin rezeki akan bertambah setelah poligami . Dan setiap anak mempunyai rezeki ditetap oleh Allah. Bila nafkah tak cukup, mereka hanya memberi apa yang mampu. selebihnya istei kena cari sendiri.sebab mereka tak mampu.

 

Jadi boleh lelaki mengunakan pendekatan begini untuk menegakkan hak mereka untuk berpoligami

 

 

Jawapan:

 

بسم الله الرحمن الرحيم

 

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على رسول الله

 

Terima kasih kepada saudari yang bertanya.

 

BERPOLIGAMI

 

Seorang lelaki yang merdeka boleh memiliki 4 orang isteri dalam satu masa berdasarkan firman Allah taala dalam Surah An-Nisa’, ayat 3:

 

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً

 

Mafhumnya, “ Kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja”

 

Juga keharusan ini berdasarkan sabdaan baginda Rasul ﷺ kepada Ghailan bin Salamah ketika beliau memeluk Islam sedangkan beliau mempunyai sepuluh orang isteri:

 

أَمْسِكْ أَرْبَعًا , وَفَارِقْ سَائِرَهُنَّ

 

“Pertahankan empat isteri sahaja, dan ceraikan yang lainnya”.

 

As-Syaikh Muhammad bin Qasim al-Ghazzi as-Syafie menyebutkan dalam kitabnya Fath al-Qareeb al-Mujib,hlm.152 :

 

ويجوز للحر أن يجمع بين أربع حرائر فقط إلا أن تتعين الواحدة في حقه كنكاح سفيه ونحوه مما يتوقف على الحاجة

 

“Harus bagi lelaki yang merdeka menghimpunkan 4 orang wanita yang merdeka (sebagai isteri-isterinya dalam masa yang sama) melainkan jika tertentu hanya seorang wanita sahaja pada haknya seperti perkahwinan lelaki yang safih (dungu) dan seumpamanya yang terhenti atas keperluan jua”.intaha

 

As-Syaikh Taqiyyuddin al-Hisni dalam kitabnya Kifayah al-Akhyaar, j. 2 hlm 38 menyebutkan :

 

(ويجوز للحر أن يجمع بين أربع حرائر. والعبد بين اثنتين) يحرم على الرجل الحر أن يجمع بين أكثر من أربع نسوة

 

“Diharuskan bagi lelaki merdeka untuk menikahi empat wanita yang merdeka, dan bagi hamba sahaya lelaki harus menikahi dua orang wanita. Haram bagi lelaki yang merdeka menikahi lebih dari empat wanita” intaha

 

Dalam Hasyiyah al-Bujairimi ^Ala al-Khatib j.10 hlm 43  menyebutkan:

 

( وَيَجُوزُ لِلْحُرِّ أَنْ يَجْمَعَ ) فِي نِكَاحٍ ( بَيْنَ أَرْبَعِ حَرَائِرَ ) فَقَطْ لِقَوْلِهِ تَعَالَى : { فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنْ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ } { وَلِقَوْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِغَيْلَانَ وَقَدْ أَسْلَمَ وَتَحْتَهُ عَشْرُ نِسْوَةٍ : أَمْسِكْ أَرْبَعًا وَفَارِقْ سَائِرَهُنَّ } وَإِذَا امْتَنَعَ فِي الدَّوَامِ فَفِي الِابْتِدَاءِ أَوْلَى .فَائِدَةٌ : ذَكَرَ ابْنُ عَبْدِ السَّلَامِ أَنَّهُ كَانَ فِي شَرِيعَةِ مُوسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ الْجَوَازُ مِنْ غَيْرِ حَصْرٍ تَغْلِيبًا لِمَصْلَحَةِ الرِّجَالِ ، وَفِي شَرِيعَةِ عِيسَى عَلَيْهِ السَّلَامُ لَا يَجُوزُ غَيْرُ وَاحِدَةٍ تَغْلِيبًا لِمَصْلَحَةِ النِّسَاءِ ، وَرَاعَتْ شَرِيعَةُ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى سَائِرِ الْأَنْبِيَاءِ وَالْمُرْسَلِينَ مَصْلَحَةَ النَّوْعَيْنِ .قَالَ ابْنُ النَّقِيبِ : وَالْحِكْمَةُ فِي تَخْصِيصِ الْحُرِّ بِالْأَرْبَعِ أَنَّ الْمَقْصُودَ مِنْ النِّكَاحِ الْأُلْفَةُ وَالْمُؤَانَسَةُ ، وَذَلِكَ يَفُوتُ مَعَ الزِّيَادَةِ عَلَى الْأَرْبَعِ ، وَلِأَنَّهُ بِالْقَسْمِ يَغِيبُ عَنْ كُلِّ وَاحِدَةٍ مِنْهُنَّ ثَلَاثَ لَيَالٍ وَهِيَ مُدَّةٌ قَرِيبَةٌ ا هـ .وَقَدْ تَتَعَيَّنُ الْوَاحِدَةُ لِلْحُرِّ وَذَلِكَ فِي كُلِّ نِكَاحٍ تَوَقَّفَ عَلَى الْحَاجَةِ كَالسَّفِيهِ وَالْمَجْنُونِ ، وَقَالَ بَعْضُ الْخَوَارِجِ : الْآيَةُ تَدُلُّ عَلَى جَوَازِ تِسْعٍ مَثْنَى بِاثْنَيْنِ .وَثُلَاثَ بِثَلَاثٍ ، وَرُبَاعَ بِأَرْبَعٍ ، وَمَجْمُوعُ ذَلِكَ تِسْعٌ .وَبَعْضٌ مِنْهُمْ قَالَ : تَدُلُّ عَلَى ثَمَانِيَةَ عَشَرَ مَثْنَى اثْنَيْنِ اثْنَيْنِ ، وَثُلَاثَ ثَلَاثَةٍ ثَلَاثَةٍ وَرُبَاعَ أَرْبَعَةٍ أَرْبَعَةٍ وَمَجْمُوعُ ذَلِكَ مَا ذُكِرَ وَهَذَا خَرْقٌ لِلْإِجْمَاعِ .

 

“ Diharuskan bagi lelaki merdeka untuk menikahi empat wanita merdeka sahaja (tidak boleh lebih dari itu) berdasarkan firman Allah taala yang mafhumnya “ Maka kahwinilah wanita-wanita yang kamu senangi: dua, tiga atau empat”  dan keharusannya juga berdasarkan sabda Nabi ﷺ pada sahabatnya Ghilaan setelah ia memeluk Islam sedangkan dia mempunyai sepuluh orang isteri “Tahanlah yang empat dan ceraikan yang bakinya”. Jika ada larangan daripada Nabi untuk berterusan (beristeri lebih daripada 4) maka larangan dari awal adalah lebih utama.

 

[ FAEDAH ] Ibn Abdus salaam menjelaskan “adalah syariat nabi Musa alaihis salam mengharuskan lelaki menikahi wanita sebanyak mungkin tanpa ada batasan demi kemaslahatan kaum lelaki. Dalam syariat nabi Isa alayhis salam, lelaki tidak diharuskan menikah lebih dari seorang wanita demi kemaslahatan kaum wanita manakala syariat nabi Muhammad menengahi syariat para nabi dan rasul demi kemaslahatan kedua-dua belak pihak (lelaki dan wanita). Syariat nabi kita ﷺ dan syariat seluruh para nabi dan rasul memelihara dua maslahat tersebut. Ibn al-Naqib berkata : Hikmah dalam mengkhususkan orang yang merdeka berkahwin empat wanita bahawa maksud atau objektif perkahwinan adalah keharmonian dan kemesraan. Perkara yang demikian itu luput jika ditambah lebih dari 4 orang wanita. Dan juga dengan ada pembahagian malam, suami akan menghilangkan diri dari setiap isterinya selama 3 malam berturut-turut sedangkan itu adalah tempoh yang dekat.

 

Sesungguhnya tertentu hanya seorang isteri bagi lelaki merdeka, yang dimaksudkan dengan demikian itu  adalah setiap pernikahan yang terhenti atas keperluan sahaja seperti perkahwinan lelaki yang safih (dungu) dan lelaki gila.

 

Sebahagian golongan Kawarij (golongan menyeleweng) menyebutkan : ayat tersebut menunjukkan harus berkahwin 9 orang wanita ; ditafsirkan مَثْنَى  dengan dua orang wanita, ثُلَاثَ dengan 3 orang wanita dan رُبَاعَ dengan 4 orang wanita dan jumlah keseluruhannnya (di sisi mereka) adalah 9 orang wanita. Sebahagian golongan khawarij juga berkata : ayat tersebut menunjukkan keharusan berkahwin sebanyak 18 orang wanita ; مَثْنَى ertinya dua dua orang (4 orang), ثُلَاثَ ertinya tiga tiga orang (6 orang) dan رُبَاعَ ertinya empat-empat orang (8 orang) dan jumlah keseluruhannya adalah sebagaimana disebutkan tadi (18 orang wanita). Ini semua (yang disebut oleh golongan khawarij) bercanggah dengan ijmak”. intaha

 

 

MAHU BERKAHWIN DAN BERPOLIGAMI TETAPI TIDAK MAMPU MEMBERIKAN NAFQAH

 

As-Syaikh Muhammad bin Qasim al-Ghazzi as-Syafie menyebutkan dalam kitabnya Fath al-Qareeb al-Mujib,hlm.152 :

 

والنكاح مستحب لمن يحتاج إليه بتوقان نفسه للوطء ويجد أهبته كمهر ونفقة، فإن فقد الأهبة لم يستحب له النكاح

 

“Pernikahan adalah digalakkan atau sunat hukumnya kepada orang yang berhajat kepadanya  dengan memenuhi hajat dirinya dengan melakukan persetubuhan dan dia pula mendapati uhbahnya (perbelanjaan) seperti mahar perkahwinan dan nafkah. Sesungguhnya orang yang tiada uhbah (perbelanjaan) maka tidak disunatkan dan tidak digalakkan pernikahan” intaha

 

Imam al-Nawawi dalam kitabnya Raudhul Thalibin hlm. 95 menyebutkan :

 

هو مستحب لمحتاج إليه يجد أهبته فإن فقدها استحب تركه ويكسر شهوته بالصوم

 

“Pernikahan adalah sunat atau digalakkan bagi orang yang berhajat kepadanya dan dia mempunyai uhbahnya (perbelanjaan). Sekiranya dia hilang uhbahnya maka digalakkan meninggalkannya serta hendaklah dia mematahkan syahwatnya dengan berpuasa”.intaha

 

Dalam Syarah al-Mahalli ^Ala al-Minhaaj, hlm 318 :

 

وَهُوَ مُسْتَحَبٌّ لِمُحْتَاجٍ إلَيْهِ) بِأَنْ تَتُوقَ نَفْسُهُ إلَى الْوَطْءِ (يَجِدُ أُهْبَتَهُ) أَيْ مُؤْنَتَهُ مِنْ مَهْرٍ، وَغَيْرِهِ تَحْصِينًا لِلدِّينِ، وَسَوَاءٌ كَانَ مُشْتَغِلًا بِالْعِبَادَةِ أَمْ لَا، (فَإِنْ فَقَدَهَا اُسْتُحِبَّ تَرْكُهُ وَيَكْسِرُ شَهْوَتَهُ بِالصَّوْمِ) إرْشَادًا قَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِمَّا رَوَاهُ الشَّيْخَانِ {يَا مَعْشَرَ الشَّبَابِ مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ الْبَاءَةَ، فَلْيَتَزَوَّجْ، فَإِنَّهُ أَغَضُّ لِلْبَصَرِ، وَأَحْصَنُ لِلْفَرْجِ، وَمَنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَعَلَيْهِ بِالصَّوْمِ، فَإِنَّهُ لَهُ وِجَاءٌ}، أَيْ دَافِعٌ لِشَهْوَتِهِ، وَالْبَاءَةُ بِالْمَدِّ مُؤَنُ النِّكَاحِ، فَإِنْ لَمْ تَنْكَسِرْ بِالصَّوْمِ، لَا يَكْسِرُهَا بِالْكَافُورِ وَنَحْوِهِ، بَلْ يَتَزَوَّجُ (فَإِنْ لَمْ يَحْتَجْ) إلَيْهِ بِأَنْ لَمْ تَتُقْ نَفْسُهُ إلَى الْوَطْءِ. كُرِهَ) لَهُ (إنْ فَقَدَ الْأُهْبَةَ) لِمَا فِيهِ مِنْ الْتِزَامِ مَا لَا يَقْدِرُ عَلَيْهِ مِنْ غَيْرِ حَاجَةٍ، وَسَوَاءٌ كَانَ بِهِ عِلَّةٌ أَمْ لَا (وَإِلَّا) أَيْ وَإِنْ لَمْ يَفْقِدْ الْأُهْبَةَ أَيْ وَجَدَهَا وَلَيْسَ بِهِ عِلَّةٌ (فَلَا) يُكْرَهُ لَهُ

 

“Pernikahan adalah digalakkan atau sunat bagi yang berhajat kepadanya seperti seseorang yang dirinya diheret ke arah persetubuhan dan dia mempunyai uhbah (perbelanjaan) iaitu mahar perkahwinan dan selainnya (nafqah) agar menjaga agamanya sama ada dia seorang yang sibuk beribadat atau tidak. Jika dia seseorang yang tiada uhbah (perbelanjaan) maka digalakkan seseorang itu meninggalkan pernikahan serta hendaklah dia mematahkan syahwatnya dengan melakukan ibadat dengan berpuasa sebagai irsyad (bimbingan). Rasulullah ﷺ bersabda sebagaimana diriwayat oleh Syaikhain (al-Bukhari dan Muslim) yang mafhumnya:

 

“Wahai golongan muda! sesiapa yang mampu berkahwin antara kamu maka hendaklah dia berkahwin sesungguhnya ia lebih menundukkan pandangan dan lebih menjaga kemaluannya. Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa sesungguhnya baginya perisai diri” iaitu menolak syahwatnya. Al-Baa’ah bermaksud perbelanjaan perkahwinan. Sekiranya tidak patah nafsunya dengan berpuasa maka janganlah dia mematahkannya dengan menggunakan kapur atau seumpamanya.

 

Jika seseorang tidak berhajat kepada pernikahan seperti dirinya tidak diherat untuk melakukan persetubuhan maka makruh baginya pernikahan sekiranya seseorang tiada uhbah (perbelanjaan) kerana terkandung di dalamnya sesuatu kewajipan pada apa yang tidak mampu dilakukannya tanpa sebarang hajat sama ada orang tersebut ada penyakit atau tidak. Jika seseorang itu mempunyai uhbah (perbelanjaan) dan tiada padanya sebarang penyakit maka tidak makruh pernikahannya” intaha.

 

 

TIDAK SAKSAMA DAN TIDAK ADIL ANTARA ISTERI-ISTERI

 

Antara kemaksiatan badan yang dikira sebagai dosa besar adalah meninggalkan keadilan dan kesaksamaan antara isteri-isteri seperti seseorang itu melebihkan salah seorang daripada 2 orang isterinya atau  antara isteri-isterinya secara zalim pada dua perkara :

  • Nafkah
  • Bermalam

 Tidaklah menjadi suatu kesalahan untuk seseorang itu tidak menyamakan antara isteri-isterinya selain daripada dua perkara di atas. Misalnya pada kecenderungan dan kecintaan hati, jimak, dan pemberian hadiah kerana Allah taala tidak menfardhukan ke atas suami menyamakan antara mereka pada semua perkara. Apatah lagi, bukanlah suatu perkara yang terdaya untuk dilakukan oleh suami bagi menyamaratakan antara isteri-isterinya dalam semua perkara. Justeru, Allah taala berfirman :

 

وَلَنْ تَسْتَطِيعُوا أَنْ تَعْدِلُوا بَيْنَ النِّسَاءِ وَلَوْ حَرَصْتُمْ ۖ فَلَا تَمِيلُوا كُلَّ الْمَيْلِ فَتَذَرُوهَا كَالْمُعَلَّقَةِ ۚ وَإِنْ تُصْلِحُوا وَتَتَّقُوا فَإِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَحِيمًا

 

Mafhumnya, “Dan kamu tidak akan dapat sesekali berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

 

Oleh sebab itu,  ada sebuah hadith daripada ‘Aisyah radhiallahu ‘anha bahawasa Rasulullah ﷺ telah membahagi-bahagikan giliran di antara para isterinya secara adil, lalu baginda mengadu-ngadu kepada Allah Azza wa Jalla dalam doanya:

 

اللهم هذا قسمي فيما أملك, فلا تلمني فيما تملك ولا أملك

 

“Ya Allah, inilah pembagian giliran yang mampu aku penuhi dan janganlah Engkau mencela apa yang tidak mampu aku lakukan” (HR. Abu Dawud; At-Tirmidzi, An-Nasa’I, Ibn Majah dan lain-lain).

 

Al-Muhaddith Syaikh Abdullah al-Harari dalam kitabnya Bughyah al-Thalib, jilid 2halaman 366-367 :

 

“Dari sini jelas menunjukkan yang menyebabkan suami berdosa dalam hal ini adalah kerana ketidakadilannya pada pembahagian malam dan nafqah. Jika suami menunaikan nafkah yang wajib ke atas semua isterinya dan telah melaksanakan pembahagian malam pada semua pihak dengan adil maka tidak perlu lagi suami menyamaratakan pada perkara yang selain itu kerana melakukan kesaksamaan semua perkara adalah termasuk dalam perkara yang tidak terdaya dan tidak mampu dilakukan oleh seseorang seperti dalam kecintaan dan kecenderungan hati. Begitu juga seseorang itu tidak mampu menyamaratakan antara isteri-isterinya pada hubungan jimak. Namun, bukan maksudnya di sini suami hanya melakukan jimak dengan sebahagian sahaja manakala sebahagian isterinya yang lain tidak langsung dilakukan jimak dengannya. Kerana tidak melakukan jimak pada isteri langsung, akan mencetuskan rasa kesunyian dalam dirinya. Jika suami enggan melakukan jimak dengan salah seorang daripada isterinya atau dengan isteri-isterinya maka tidak dimestikan suami tersebut melakukan jimak itu jika dia telah melakukannya  sekali dengannya. Isteri tidak boleh meminta jimak tersebut dalam erti kata kalau tidak diberikan jimak tersebut isteri hendaklah diceraikan. Juga tidak mewajibkan hakim memerintahkan suami pada perkara tersebut”.

 

Walau bagaimanapun, suami janganlah hanya menumpukan kasih sayangnya pada seorang sahaja atau dua orang sahaja daripada isteri-isterinya sehingga yang lain diabaikan dan tidak langsung diambil perhatian.

 

 

SUAMI WAJIB MEMBERI SEKADAR NAFKAH YANG WAJIB BUKAN LEBIH DARIPADA ITU

 

Menurut al-Hafiz al-Faqih as-Syeikh Abdullah al-Harari al-Habasyi di dalam kitab Bughyah at-Thalib, jilid 2 halaman 109 :

 

“ Sesungguhnya wajib ke atas suami memberikan nafkah kepada isterinya yang mentaati diriya untuk suaminya walaupun isteri tersebut adalah seorang hamba yang dimiliki atau seorang kafir (ahli kitab) atau seorang yang sakit. Nafkah menurut mazhab Syafie adalah sebanyak dua mud (dua cupak) makanan pada setiap hari ke atas suami yang berada, satu mud ke atas suami yang miskin, dan satu mud setengah ke atas suami yang sederhana. (Makanan ini mengikut makanan kebiasaan setempat. Jika di negara Arab makanan asasi mereka adalah gandum. Bagi sebahagian masyarakat Habasyah pula makanan asasi mereka adalah jagung manakala kita di Malaysia makanan asasi kita adalah beras).

 

Wajib juga ke atas suami mengisarkannya, mengadunkannya, menjadikannya roti (bagi negara yang makanan asasi mereka roti. Manakala di Malaysia, suami hendaklah memasak beras supaya menjadi hidangan nasi kepada isterinya), menyediakan udum (sesuatu yang dimakan dengan makanan asasi sama ada berbentuk cecair atau pepejal. Dengan kata lain ia adalah lauk pauk). Lauk pauk berbeza-beza mengikut musim (ada negara yang mempunyai 4 musim dan ada negara yang hanya mempunyai dua musim iaitu panas dan sejuk atau hujan sahaja).(Jika berlaku pertelingkahan tentang ukuran lauk pauk), maka yang menentukan ukuran tersebut adalah Qadhi dengan ijtihadnya. Lauk-pauk berbeza beza (dilebihkan atau dikurangkan) di antara suami yang berada dan sebagainya (mengikut kemampuan suami tersebut).

 

Suami mesti menyediakan pakaian yang memadai bagi isterinya dan juga alat pembersihan iaitu peralatan untuk isteri membersihkan dirinya. Justeru, wajib  ke atas suami menyediakan kepadanya sabun misalnya atau perkara lain sebagai gantinya. Wajib suami menyediakan kepada isterinya sebuah rumah yang berisi di dalamnya dapur, tandas, dan bilik.

 

Makanan yang mesti disediakan oleh suami ialah sesuatu yang dimakan bukan untuk bermewah-mewah. Makanan yang didatangkan oleh suami sama ada ia sudah siap dimasak atau  dia sendiri yang memasakkannya kepada isteri (Isteri boleh melakukannya atas alasan ihsan atau berbuat baik pada suami yang penat lelah bekerja untuknya).

 

Suami hendaklah menyediakan tilam, bantal, sarung kaki iaitu di negara yang memerlukannya memakai sarung kaki, alas lantai (tikar atau permaidani) yang menjaganya daripada sebarang kemudharatan panas dan sejuk, selimut yang bersesuaian bagi cuaca yang panas dan sejuk. Adapun cahaya, maka memadai bagi suami menyediakan pelita atau sesuatu yang memadai untuk tujuan itu (mengikut keperluan semasa).

Wajib juga  ke atas suami menyediakan kepadanya peralatan membersih bagi membasuh bajunya. Dan wajib di sediakan baginya sehelai pakaian pada musim sejuk dan sehelai lagi pada musim panas walaupun pakaian pertama (pakaian yang dipakai pada musim sejuk) belum lagi rosak. Begitu juga wajib disediakan alas kaki (kasut atau selipar) dan Khuf (kasut yang dipakai pada musim sejuk yang kebiasaannya terdapat di negara yang turun salji).” Intaha.

 

والله أعلم وأحكم

 

 

(sumber: http://www.muftiwp.gov.my/ekemusykilan/v2/view/user/)

 
Pasar yang Membuatkan Pengunjungnya Semakin Kacak dan Jelita

pasar

 

Melihatkan pada tajuknya, memang agak pelik. Macam mana masuk pasar boleh jadi bertambah jelita dan kacak pula? Sedangkan tanyalah pada sesiapapun, pasarlah tempat yang penuh riuh rendah dan sesak. Itu belum ditambah dengan keadaannya yang berlecak dan hanyir. Baunya jangan katalah! Boleh tercabut hidung!. Muka seorang-seorang, tak kira penjual atau pengunjung, tidak kurang serabutnya seolah-olah kalau boleh mahu cepat-cepat meninggalkan pasar tersebut.

 

Tapi nanti dulu. Ini bukan main-main. Ini cerita sebenar dan kita wajib percaya kerana Rasulullah SAW sendiri telah bersabda mengenai perkara itu. Dari Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sungguh di syurga ada pasar yang didatangi penghuni syurga setiap hari Jumaat. Bertiuplah angin mengenai wajah dan pakaian mereka hingga mereka semakin indah dan tampan. Mereka pulang kepada isteri-isteri mereka dalam keadaan telah bertambah indah dan tampan. Keluarga mereka berkata, ‘Demi Allah, engkau semakin bertambah indah dan tampan.’ Mereka pun berkata, ‘Kalian pun semakin bertambah indah dan cantik” (HR Muslim no. 7324).

 

Sekarang, baru percaya? Tak sabar untuk masuk pasar syurga? Nanti dulu. Ada yang lagi menarik! Pasar ini bukan sahaja akan mencantik dan mengacakkan pengunjung-pengunjungnya, tetapi juga tiada jual beli pun yang akan berlangsung di dalamnya. Bermakna, apa sahaja barang yang dipamerkan adalah percuma selama-lamanya! Sepertimana yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam Surah az-Zukhruf ayat 71 yang bermaksud, “...dan di dalam Syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta di pandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): “Kamu adalah tetap kekal di dalamnya.”

 

Jika sebarang keinginan kita akan dipenuhi di syurga nanti, apa fungsi sebenar pasar itu? Sebenarnya fungsi pasar itu adalah sebagai tempat pertemuan para penghuni syurga. Ini dijelaskan oleh Imam An-Nawawi rahimahullah bahawa yang dimaksudkan dengan pasar adalah tempat berkumpulnya manusia sebagaimana manusia di dunia berkumpul di pasar. (Syarh Muslim 16/170, syamilah).

 

Nikmat syurgawi, bukan sahaja mendapat apa yang diingini walau hanya dengan lintasan hati, juga akan menjadikan kita bertambah kacak dan jelita sambil dapat berkenal-kenalan dan bersua muka dengan saudara dan teman-teman; saling menyapa, kenal mengenali.

 

Aduh! Indahnya kehidupan syurgawi. Tak sabar untuk mengunjungi pasar Jumaat di syurga!

 
Abah, Abah Nak Tengok Tak Ni, Bah?

 

najmi4

 

Oleh MOHD NAZALI MOHD NOOR

 

Mohd Nazali Mohd Noor adalah pensyarah kanan Pengurusan Fasiliti di School of The Built Environment, Liverpool John Moores University. Beliau juga merupakan penulis buku best seller Ulu Yam Di Liverpool 1, Ulu Yam Di Liverpool 2 dan Anak-anak Abah.

 

Minggu lalu dan minggu ini kehidupan saya di universiti sangat-sangat sibuk. Semester pengajian sudah hampir ke penghujung. Minggu ini minggu ke 25 pengajian dari keseluruhan 30 minggu. Tapi minggu hadapan dan seterusnya pelajar akan mula bercuti musim bunga selama dua minggu.

 

Banyak tugasan pelajar yang perlu ditanda. Ada juga pembentangan yang perlu dinilai. Dalam pada itu, saya juga perlu mengadakan beberapa sesi diskusi bagi pelajar Masters dan PhD yang saya selia tesis mereka. Setiap tahun, waktu ini memang waktu puncak!

 

Setiap hari, sampai saja dirumah, saya sudah terlepek keletihan. Suatu kemujuran sekiranya ada waktu dan kesempatan ke ruang tamu untuk bermain bersama Adam dan Awwab. Kelibat Najwa, Najman dan Najmi jarang berselisih dengan saya seminggu dua ini.

 

Najmi yang paling rapat dengan saya. Dialah yang sering menjengah ke bilik saya walau untuk berbual kosong sambil bertanyakan bagaimana suasana sepanjang hari saya di pejabat. Barangkali seminggu dua kebelakangan ini, bila dia masuk ke bilik, mungkin saya sudah tidur. Kerana kebelakangan ini, lepas solat Maghrib, saya ambil peluang berehat dan akan bangun awal pagi untuk menunaikan solat Isyak.

 

Entah macam mana, dua hari lepas usai solat Maghrib, tekak terasa haus benar. Jadi saya terpaksa turun ke dapur untuk minum.

Ketika menguak pintu ruang makan untuk menuju ke dapur, saya terserempak dengan Najmi yang sedang meneleku komputer.

 

“Eh Abah...”

 

Saya hanya melemparkan senyuman kepada Najmi lantas terus ke sinki menadah air paip ke gelas.

 

“Bah.. Bah...” Saya dengar suara Najmi dari ruang makan.

 

“Ermmm...,” balas saya acuh tak acuh sambil membasuh gelas dan pantas mahu naik ke bilik semula.

 

Ketika melalui ruang makan, sekali lagi Najmi memanggil. Ditangannya kini ada telefon bimbit.

 

“Bah... Abah nak tengok tak ni, bah?” Disuakan telefon bimbitnya kepada saya.

 

Pantas saya memotong kata-kata Najmi: “Abah penat sangat hari ni. Turun sekejap nak minum. Nanti-nanti ya abah tengok. Abah penat...”

 

Saya lihat muka Najmi, dia tersenyum.

 

“Tak apalah bah. Nantilah bila abah okay nanti, Najmi tunjuk, ya?” ujar Najmi. Saya mengangguk lalu terus naik ke bilik tidur.

 

Esoknya rutin saya berjalan seperti hari ini - padat. Lusa pun begitu juga. Sampai saya terlupa entah apa yang mahu ditunjukkan Najmi tempoh hari.

 

Malam tadi saya terima satu sistem pesanan ringkas (sms) dari Najmi. Saya buka telefon bimbit. Masa menunjukkan pukul 2.00 pagi. Saya lihat Najmi menghantar gambar dia dan rakan-rakan sepasukan bola keranjang sekolahnya. Terpampang gambar dia menjulang piala besar. Saya tahu dia kapten bola keranjang sekolahnya. Dan 5-6 hari lalu, memang dia ada maklumkan pada saya yang pasukannya layak ke peringkat akhir pertandingan bola keranjang peringkat sekolah daerah Liverpool.

 

“Wish me luck, ya bah?”

 

Najmi minta saya mendoakan kejayaannya.

 

Tapi atas kesibukan, saya terlupa untuk bertanya keputusan pertandingan itu tempoh hari. Saya baca catatan sms Najmi itu:

 

“I won bah. We are the champion. I thought of showing you this picture that day. Nak ucap terima kasih kat abah. Najmi pakai kasut basketball yang abah belikan hari tu. My first throphy wearing that shoes. Thanks, ya bah...”

 

Tertampar! Saya rasa sangat kecewa dengan diri sendiri. Lantas saya ke bilik Najmi untuk menjenguk. Melihatkan dia sedang nyenyak tidur, saya tak sampai hati untuk mengejutkannya seawal jam 3 pagi. Tetapi saya kecewa dan kesal dengan diri sendiri atas sikap pentingkan diri ini. Berkira-kira di dalam hati, adakah esok masih lagi berkesempatan untuk memohon maaf dari Najmi sebelum ke pejabat?

 

Malangnya, esok kuliah bermula awal pagi dan saya perlu ke pejabat awal dan pastinya akan menyebabkan saya tidak sempat berjumpa dengan Najmi. Tetapi mujur kuliah habis jam 3 petang dan saya boleh pulang awal nanti.

 

Saya pulang sebaik habis kuliah dan semasa saya sampai ke rumah, Ain kata dia mahu menjemput Najmi pulang dari sekolah.

 

“Najmi ada game rugby petang ni, bang. Abang tau kan dia main rugby sebab cikgu dia kata dia boleh main rugby,” ujar Ain.

 

Saya terlongo.

 

“Bila pulak Najmi main rugby ni? Abang tak tahu pun? Bukan dia main bola sepak dengan basketball aja ke?” Tanya saya kepada Ain.

 

“Dia main rugby juga bang. Wakil sekolah anak bujang abang tu,” terang Ain.

 

Hati saya semakin sayu.

 

Walaupun baru beberapa minggu saja saya kesibukan, sudah begitu banyak yang berlaku dalam kitaran hidup anak-anak saya terlepas pandang. Perkara sebegini walau nampak kecil tapi signifikan dalam hidup saya! Ini progres sejarah hidup mereka kan?

 

Saya bertambah kesal dan resah. Hati saya gelisah.

 

“Ain... Abang nak ikut Ain ambil Najmi, ya? Abang tukar seluar sekejap.”

 

Saya ikuti Ain mengambil Najmi di sekolahnya. Dari jauh saya nampak keadaan Najmi yang comot, mungkin bergelumang dengan lumpur.

 

“Eh Abahpun ada. Abah balik awal, ya bah?” Tanya Najmi.

 

Saya senyum kelat. Rasa malu masih menyelubungi diri. Dalam hati saya mula menyusun ayat. Saya perlu meminta maaf dari Najmi. Dalam perjalanan pulang, saya meminta pada Ain untuk singgah sebentar di ASDA.

 

“Ain, nanti bawak abang pergi supermarket ASDA sekejap, ya? Nak beli buah dengan Najmi.” Ain angguk mengiyakan. 

 

Dalam pada itu, pelbagai ayat berlegar di dalam minda. Ayat untuk meminta maaf pada Najmi. Tiba-tiba Najmi cuit saya dari tempat duduk belakang.

 

“Bah... Bah...”

 

Saya toleh ke arah Najmi yang duduk di kerusi belakang. Najmi suakan sebuah kotak baldu berwarna biru. Saya terpinga-pinga.

 

“We won tadi bah. We are the champion of the rugby league. I did not played really well and got subbed. Tapi tak apalah kan bah.We won anyway,” ujar Najmi penuh girang.

 

Sekali lagi saya tertampar!

 

Senyum kelat.

 

Dan kereta dipandu Ain sampai ke ASDA. Pantas saya keluar kereta.

 

“Najmi, ikut abah jom?” Tanpa berlengah, Najmi keluar dari kereta.

 

Sampai di dalam shopping centre itu, saya peluk bahu Najmi.

 

“Najmi.. Abah mintak maaf for being ignorance lately to you. Irrespective whatever the reason, I am so ashamed of my action to you. I am so sorry, ya nak?”

 

Najmi kaget.

 

“What did you do wrong? Eh, tak ada salah apa pun, abah. I know you are tired and working late and so hard bah. I just want to say thank you for your support. Thanks, ya bah?”

 

Saya dah tak kisah dengan orang-orang yang lalu lalang untuk membeli barang di tepi, depan dan belakang saya ketika itu. Saya sebik emosi.

 

“I am so sorry son.”

 

Najmi senyum. Dia mengangguk faham.

 

“Bah.. I just hope that you are proud of me bah. Are you, bah?,” tanya Najmi.

 

Mata saya panas. Bibir saya terketap rapat.

 

“I am one ignorance lucky dad, Najmi. You are so amazing,” balas saya sungguh-sungguh.

 

“That is more than enough abah. Thanks, ya bah...,” ujar Najmi dalam senyum.

 

 

*****

 

Kadang-kadang kita terlupa. Kita ini manusia yang lemah dan mudah leka. Kita tidak meletakkan penghargaan pada anak-anak ketika mereka layak diraikan. Walau dalam banyak keadaan mereka tak minta apa-apapun sebagai ganjaran. Cukup sekadar ucapan:

 

“I am so proud of you son..”

 

Cukup!

 

Kita raikanlah anak-anak kita, ya? Dan usaha sehabis baik. Ada ketikanya anak-anak kita akan mencipta momen sejarah peribadi mereka.

 

Anak kita tu, kan? Kalau bukan kita jadi peminat nombor satu dan tukang sorak mereka, pada siapa lagi mereka nak harapkan?

 

Najmi...

 

Allahu...

 

Anak yang ini...

 

Banyak sangat mengajar abah dan mamanya untuk selalu merendah hati...

 

Anak yang ini...

 
Siapa Kata Harta Tidak Boleh Dibawa Mati?

TANGGAPAN_kubur

 

Dalam kampung aku, ada seorang pakcik yang memang terkenal dengan sifat dermawannya. Namanya Haji Lahman. Mengikut cerita ayah, dulu Haji Lahman bukanlah seorang yang kaya seperti sekarang. Katanya, Haji Lahman bermula sebagai pembantu di Kedai Runcit Ah Kuat.

 Yang peliknya, sejak Haji Lahman bekerja di kedai itu, makin ramai pula pelanggan yang datang. Nak kata kedai Ah Kuat selalu bagi potongan harga menarik, tidak juga. Tapi ayah kata, dia agak semuanya mungkin kerana sifat baik Haji Lahman. Apa yang Haji Lahman buat? Bagi setiap barang yang dibeli pelanggan, pasti dia akan memasukkan sebiji dua gula-gula sebagai tanda penghargaan. Eh! Dia buat kedai tu macam hak dia pula!

Tidak! Jangan silap sangka. Ayah kata, sebelum Haji Lahman buat begitu, awal-awal lagi dia sudah meminta keizinan dari Tokey Ah Kuat. Dia rela gajinya dipotong mengikut jumlah balang gula-gula percuma yang luak. Selagi tidak menjejaskan hasil jualan, Ah Kuat okey saja. Malah, melihatkan kedainya yang semakin maju, kadang-kadang Ah Kuat tidak memotong gaji Haji Lahman bahkan diberikannya bonus.

 

Haji Lahman Makin Berjaya

Sepuluh tahun bekerja dan menimba ilmu perniagaan dengan Ah Kuat, Haji Lahman berjinak-jinak membuka kedai runcitnya sendiri. Masih lagi dengan sifat pemurahnya, kedai Haji Lahman yang dahulunya kecil, sudah menjadi sebuah pasar mini. Pasar Mini Haji Lahman masih lagi mengamalkan konsep berniaga sambil bersedekah yang mana kini amal sedekah yang dibuatnya bukan lagi dalam kadar kecil seperti mula-mula dia bekerja dengan Ah Kuat, tetapi dalam skala yang lebih besar. Kedainya menjadi kedai yang paling kerap membuat potongan harga dan happy hour.

Dari sebuah, kini kedainya berjumlah 10 buah. Itu hanya di Selangor. Kedainya mempunyai rangkaian seluruh negara dengan kira-kira 30 buah kedai kesemuanya. Di setiap cawangan, amalan berniaga sambil menderma menjadi motto mereka. Haji Lahman ternyata menjadi seorang usahawan yang berjaya dan dihormati. Walaupun begitu, keperibadiannya tidak pernah berubah. Masih seperti dulu; merendah diri dan pemurah. Ikut resmi padi, makin berisi, makin menunduk.

Haji Lahman selalu menderma kepada masjid-masjid dan anak yatim seluruh negara. Setiap bulan, dia akan memperuntukkan sejumlah wang hasil keuntungan berniaga untuk golongan fakir miskin dan yang memerlukan. Bahkan boleh dikatakan, kemana-mana saja dia pergi, dia akan ‘menaburkan duit’ dengan mencari golongan yang memerlukan.

Selain daripada sifat dermawannya, akhirat sentiasa di hati Haji Lahman. Dia akan sentiasa mengerjakan solat fardu berjemaah di masjid. Dia akan jadi jemaah yang paling awal datang ke masjid. Ayah kata, kerap kali juga dia melihat Haji Lahman mengutip telekung untuk dibasuh dan mengupah orang untuk membersihkan karpet masjid. Begitulah sifat Haji Lahman yang dikenali semua, seolah-olah harta yang dimiliki ‘tidak berharga’ baginya. Mudah sangat memberi tanpa teragak-agak.

 

Pertemuan Yang Menginsafkan

Teruja untuk mengenalinya lebih dekat, aku cuba mendekatinya usai solat Isyak di masjid. Kulihat Haji Lahman sedang berbual-bual dengan seorang jemaah wanita lalu aku mengambil keputusan untuk menunggu di ruang solat sambil membaca al-Quran.

Kulihat, selesai berbual dengan wanita itu, Haji Lahman pergi ke ruang solat wanita. Kerana rasa ingin tahu yang membuak-buak, aku menjengukkan kepala ke ruang solat wanita. Rupa-rupanya, dia sedang mengutip telekung-telekung wanita yang disangkutkan secara berderet itu lalu meletakkannya ke dalam beg plastik. Selepas memasukkan ke dalam beg plastik, dia menggantikannya dengan telekung-telekung baharu yang masih dalam bungkusan lalu disusun kemas di dalam almari.

Aku cuba mendekati Haji Lahman dengan menawarkan tenaga untuk membantu dan disambut dengan baik olehnya. Dengan peluang terhidang di depan mata, aku mengambil kesempatan ini untuk bertanyakan soalan kepadanya.

“Haji, saya sangat kagum dengan sifat Haji. Haji dikenali sebagai seorang yang sangat berjaya, tidak lokek dan seolah tidak sayang dengan harta kekayaan yang diperoleh. Dengan kejayaan yang dikecapi, bolehkah Haji berkongsi resipi kejayaan dengan saya?,” soalku ingin tahu.

Tiba-tiba Haji Lahman ketawa.

“Anak bertanyakan kepada salah orang!”

“Salah orang? Apa maksud Haji?,” tanyaku keliru.

“Ya, anak berkata saya tidak sayangkan harta, sedangkan saya sangat sayang pada harta dan sangat sukakannya. Saya sangat sayangkan kesemua harta yang saya ada.” Penjelasan dari Haji Lahman membuatkan aku bertambah bingung.

“Malah, sayangnya saya kepada harta sehingga saya tidak rela meninggalkannya di dunia ini. Saya mahu membawanya bersama-sama ke dalam kubur apabila saya mati kelak!

“Saya tidak mahu berpisah dengan harta kekayaan saya. Sementara nyawa dikandung badan, saya akan mencari harta kekayaan sebanyak-banyaknya untuk dibawa ke kubur nanti. Masa hidup inilah kita kena kumpul dan simpan baik-baik semua harta yang diperoleh.

“Harta-harta yang saya ada saya ‘simpan’ pada anak yatim, pada fakir miskin, pada masjid dan surau, pada para pejuang fii sabilillah, pada sekolah-sekolah tahfiz, pada pekerja-pekerja saya, pada sahabat handai dan saudara yang menanggung sakit di hospital dan pada organisasi dakwah yang menyebarkan dakwah.

“Alhamdulillah, mereka-mereka ini sudi memikul amanah untuk ‘menyimpan’ harta kekayaan yang saya ada. Ini cukup mengembirakan saya. Apabila saya mati, saya akan dapat menikmati seluruh harta kekayaan saya itu semula. Malah, harta kekayaan itu akan bertambah berlipat kali ganda daripada sebelumnya di alam kubur dan di akhirat kelak.

“Jadi, siapa kata harta dan wang ringgit tidak boleh dibawa mati? Ternyata harta boleh dibawa mati jika kita tahu caranya.

“Caranya?

“Jangan bawa sendiri. Minta tolong orang lain untuk membawanya. Minta tolong fakir miskin, anak yatim dan orang-orang yang berjuang ke jalan-Nya bawakan untuk kita kerana kelak apabila kita mati, anak-anak dan keluarga hanya mampu membaluti tubuh kita dengan kain putih saja.”

Sambil tersenyum Haji Lahman berkata, “Anak...Bersedekah tidak mengurangkan harta. Bahkan, Rasulullah SAW bersabda, “Bersedekahlah sebahagian dari rezeki yang dikurniai Allah padamu kerana sesungguhnya sedekah itu tidak mengurangkan harta kekayaanmu, bahkan menambahkannya.” (HR Muslim) 

*****

Allahu...Perjumpaan dengan Haji Lahman membuatkan aku terus bertekad untuk mengumpul harta banyak-banyak kerana aku juga ingin kaya di Sana!

 
« StartPrev12345678910NextEnd »

Page 1 of 18


Majalah Dakwah Online ©, Resolusi terbaik adalah 1024 x 786, Pelayar sesuai untuk melihat laman web ini adalah Firefox, Valid XHTML and CSS.